KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih mengumpul bukti berhubung isu pemberian kad pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) secara tidak sah.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata setakat ini pihaknya belum mengadakan perbincangan berkaitan perkara itu.

"Saya belum adakan perbincangan lagi. Saya nak cari lebih banyak bukti dan mahu pastikan apa yang saya kata itu bukan masalah yang membabitkan satu atau dua orang. Kalau begitu, mungkin ada kesilapan di mana-mana, tetapi kalau banyak bukti, mereka tak boleh cakap itu satu kesilapan lagi.

"Ada sesuatu yang mereka cuba sorokkan daripada kita. Sampai masa saya akan buat keputusan dan ambil tindakan sewajarnya untuk pastikan yang kita jaga ialah rakyat dan mereka yang mahu tinggal di negara ini mengikut undang-undang kita," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Penyerahan Kontrak Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), di sini, hari ini.

Hamzah pada 29 Mei lalu mempersoalkan bagaimana warga asing dari Indonesia yang ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen, memiliki kad pelarian UNHCR.

"KDN menerusi operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya mengesan beberapa individu dari negara yang tidak bergolak didapati memiliki kad pelarian yang dikeluarkan UNHCR.

"Sesiapa sahaja yang tinggal di Malaysia wajib mematuhi undang-undang yang ditetapkan sebagai sebuah negara berdaulat.

"Kita sebagai sebuah negara merdeka patut yakin dengan undang-undang kita, jadi bila sampai masanya nanti saya akan buat keputusan untuk ambil tindakan sewajarnya," katanya lagi.

UNHCR | KDN personal kad pelarian diberi sewenang-wenang