JOHOR BAHRU: Semua isu di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri, dijangka dapat diatasi selewat-lewatnya hujung September ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri juga kekal komited dalam meningkatkan kesalinghubungan Johor, terutamanya dalam menambah baik perkhidmatan di kedua-dua kompleks CIQ berkenaan.

“Kami sedar bahawa dengan menangani isu-isu yang membelenggu sejak sekian lama ini, ia akan dapat membantu meningkatkan imej Johor dan Malaysia, selain menjadikan kehidupan pelawat harian negeri kita lebih mudah.

“Melalui jaminan daripada Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Ruslin Jusoh dan Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini; Saya berbesar hati untuk memaklumkan kepada semua pelabur yang hadir bahawa masalah akan dapat diatasi menjelang hujung September. Ini bukti Johor mendengar rakyat dan industrinya,” katanya dalam ucaptama di Forum Perniagaan dan Pelaburan Johor, di sini pada Khamis.

Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan atas komitmen mereka untuk mengurangkan kesesakan di sempadan yang membawa perkembangan positif kepada Johor.

Laluan Tambak Johor-Singapura kini merupakan antara lintasan sempadan paling sibuk di dunia dengan lebih 300,000 rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke Singapura setiap hari.

“Tambak ini menjadi tumpuan utama saya kerana saya akan berada di lapangan untuk memantau lebih kerap keadaan,” tambahnya.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu juga berkata kerajaan sedang melaksanakan Sistem Transit Rapid (RTS Link) untuk meningkatkan lagi hubungan Johor Bahru-Singapura.

“Ini adalah projek mengubah keadaan yang dijangka siap menjelang 2026, dengan anggaran kapasiti pengguna harian sebanyak 150,000.

"Untuk melengkapkan RTS Links, Transit Aliran Bas Iskandar Malaysia (IMBRT) akan disiapkan menjelang 2025. IMBRT akan mempunyai sambungan yang luas dengan laluan dari sini ke  Skudai, Tebrau dan Iskandar Puteri. Ini merupakan satu lagi pengubah keadaan yang boleh meningkatkan pertumbuhan ekonomi bagi Johor," katanya.

-- BERNAMA