KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Langkawi, yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mengesa supaya darurat diisytiharkan bagi menangani pandemik COVID-19.

Menerusi entri terbaharunya di dalam chedet.cc, Tun Dr Mahathir antara lain meminta agar badan yang mengawal pandemik COVID-19 diletakkan di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Sekarang kita ada kerajaan yang baru yang mungkin sibuk dengan urusan lain. Sebaliknya wabak ini memerlukan pelbagai tindakan segera.

"Jika badan yang mereka cadang diletak di bawah kerajaan, politik akan mengganggu tindakan mereka. Adalah lebih baik jika mereka dilantik dan diletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong," jelasnya.

Tambah Dr Mahathir, sebilangan pakar yang ingin menyumbang dalam membendung pandemik COVID-19 sebelum ini ditolak dan tidak diberi pengiktirafan oleh kerajaan, meskipun mereka sanggup bekerja secara sukarela.

Jelasnya lagi, mereka merangkumi pakar-pakar dalam bidang perubatan, ekonomi, sosiologi yang boleh membantu negara melawan COVID-19.

"Saya khuatir wabak ini akan melanda negara dan ratusan yang akan meninggal dunia. Ekonomi tidak boleh pulih dan penderitaan orang ramai akan meningkat.

"Percayalah wabak ini tidak mudah dikawal. Ia tidak akan pergi dengan sendirinya. Di waktu ini keadaan sudah jadi amat serius. Ia boleh jadi lebih serius dalam masa yang terdekat.

"Kita perlu bertindak sekarang ini juga. Janganlah utama politik dan undang-undang pun. Sebenarnya inilah masa isytihar darurat kerana tindakan luar biasa perlu diambil. Kita tidak boleh tunggu kerajaan disusun sebelum bertindak," jelasnya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata Malaysia kini disenaraikan sebagai negara terburuk mengawal wabak COVID-19 seperti dilaporkan majalah The Economist.

Malah, katanya angka harian menyaksikan 23,000 rakyat yang dijangkiti COVID-19 dengan 233 kematian direkodkan.

BACA: COVID-19: Malaysia lapor kes harian tertinggi, 23,564 jangkitan baharu

"Tekanan jiwa yang dipikul oleh semua rakyat amatlah berat. Ramai yang kehilangan ahli keluarga, kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa, yang dengan tiba-tiba jadi yatim piatu, kehilangan ketua rumah, kehilangan kawan dan keluarga.

"Penderitaan mereka amatlah teruk sehingga ada yang bunuh diri," katanya lagi.