MALAYSIA
Jabatan Kehakiman Syariah Perak bangun Modul eKSPerk, mudahkan orang awam daftar kes

Ab. Rahman Thobroni (kiri) beramah mesra bersama penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 ketika hadir ke Majlis Apresiasi Kecemerlangan 2024 Jabatan Kehakiman Syariah Perak, di Ipoh, pada Jumaat. - Gambar Bernama
IPOH: Jabatan Kehakiman Syariah Perak membangunkan laman web Modul Awam Elektronik Kehakiman Syariah Perak (eKSPerk) sebagai pemudah cara penyediaan borang pendaftaran bagi kes-kes terpilih di mahkamah syariah di negeri itu.
Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor berkata, eKSPerk boleh dilayari melalui eksperk.perak.gov.my mulai 10 Jun lepas.
Beliau berkata, kes terpilih yang boleh menggunakan eKSPerk ialah permohonan perceraian persetujuan, tuntutan pengesahan lafaz cerai, permohonan nikah bawah umur serta permohonan wali hakim.
"Ia (eKSPerk) diwujudkan untuk membantu orang awam dalam urusan pendaftaran kes bagi mereka yang tidak menggunakan khidmat peguam. Mereka akan menghadapi masalah penyediaan dokumentasi termasuklah borang-borang yang dikehendaki mengikut ketetapan sedia ada."Jadi dengan adanya eKSPerk, ia memudahkan orang awam memasukkan pelbagai maklumat dan fakta kes yang diperlukan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Kecemerlangan 2024 Jabatan Kehakiman Syariah Perak, di sini, pada Jumaat.
Ab Rahman Thobroni berkata, pada peringkat permulaan, orang awam yang mengisi borang berkenaan perlu mencetaknya terlebih dahulu sebelum dikemukakan kepada pihak mahkamah.
"Kami sedang berusaha menaik taraf laman web itu supaya dokumen yang diisi di dalam eKSPerk akan terus dipaparkan pada sistem e-syariah," katanya.
Beliau berkata, bagaimanapun borang pendaftaran kes yang disediakan oleh pihak ketiga atau persendirian masih diterima daftar selagi dokumen itu mengikut format, susunan kandungan dan laras bahasa yang telah ditetapkan.
"Setakat ini hanya Jabatan Kehakiman Syariah Perak sahaja yang melaksanakan modul sebegini dan mungkin ia akan diikuti oleh jabatan kehakiman syariah negeri lain," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami