Jabatan Kesihatan Kelantan rampas lebih 100 kg serbuk teh tiruan tahun lepas

Dr Mohd Azman memaklumkan hukuman denda telah dikenakan sebanyak RM5,000 bagi kes di Kota Bharu dan RM1,500 bagi setiap kes di Machang. - Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Kelantan merampas 130 kilogram (kg) serbuk teh mengandungi pewarna tiruan dianggarkan bernilai RM3,963 dalam operasi di negeri ini sepanjang tahun lepas.
Ringkasan AI
- Jabatan Kesihatan Kelantan merampas 130 kg serbuk teh mengandungi pewarna tiruan bernilai RM3,963 sepanjang tahun lepas.
- Operasi khusus dilakukan untuk menghalang penjualan teh tiruan dan produk makanan tanpa pelabelan yang betul.
- Denda kesalahan bagi pembekal teh yang mengandungi pewarna tiruan ialah sehingga RM5,000 bagi setiap kes, menunjukkan tindakan tegas untuk memastikan keselamatan makanan di Kelantan.
"Sebanyak dua notis kesalahan dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (pengkompaunan kesalahan) 2017 dengan nilai RM1,000.
"Tiga syarikat pembekal teh telah didakwa di mahkamah yang melibatkan pelanggaran pewarna tiruan di dalam serbuk teh, iaitu di bawah Peraturan 260(3) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 melibatkan satu kes di Kota Bharu dan dua kes di Machang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Mohd Azman memaklumkan hukuman denda telah dikenakan sebanyak RM5,000 bagi kes di Kota Bharu dan RM1,500 bagi setiap kes di Machang, sekali gus menjadikan keseluruhan denda melibatkan kes pewarna tiruan dalam teh sepanjang 2025 ialah RM8,000.
Beliau berkata di bawah Peraturan 260 (3), teh tidak boleh mengandungi apa-apa bahan pewarna, sama ada dibenarkan atau tidak.
Berikutan itu, pihaknya sentiasa peka dan mengambil berat isu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan di negeri ini.
"Kita juga sentiasa berusaha memastikan makanan yang dijual bersih, selamat dan berkualiti tinggi serta tiada penipuan di sepanjang rantaian," katanya.
Beliau menasihati orang ramai supaya melaporkan kepada jabatan kesihatan negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan sekiranya mempunyai maklumat berkaitan pewarna teh tiruan atau pelabelan yang tidak betul.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


