IPOH: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak sudah mengenal pasti identiti individu yang membeli kuih limas yang didakwa mempunyai gumpalan rambut di dalamnya di sebuah bazar Ramadan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi negeri Mohd Akmal Kamarudin berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti bazar yang terbabit dalam keajadian tular itu, iaitu Bazar Ramadan Teluk Intan.

Katanya, sampel kuih limas itu telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hilir Perak untuk siasatan lanjut.

"Berdasarkan risikan yang dijalankan, pengadu telah dikesan dan diminta untuk tampil ke PKD Hilir Perak untuk membuat aduan secara rasmi.

"Bapa pengadu iaitu individu yang membeli makanan yang tercemar tersebut telah hadir ke PKD untuk membuat aduan secara rasmi dan makanan yang diadukan masih disimpan telah diserahkan kepada pihak pegawai penyiasat," katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Beliau mengulas gambar tular dengan kapsyen antara lain menyebut 'Sehelai rambut boleh dimaafkan, tetapi ini segumpal rambut. Peniaga yang menyediakan juadah perlu memastikan kebersihan' sambil dilampirkan gambar kuih dan gumpalan rambut tersebut.

Mohd Akmal berkata siasatan akan dijalankan di tempat kejadian dan lokasi makanan disediakan menerusi Operasi Khas 'Kuih Limas' dan disiasat menggunakan Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan Akta Makanan 1983 (Akta 281).

Katanya pelanggan disaran untuk membuat aduan sekiranya terdapat peniaga yang melanggar dan tidak mematuhi etika penyediaan dan penjualan makanan yang selamat melalui laman web Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) Kementerian Kesihatan, secara jumpa terus ke PKD terdekat atau Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Perak.

Beliau berkata orang ramai juga boleh membuat aduan dengan mengemukakannya melalui e-mel [email protected]