Jabatan Kesihatan Johor menafikan laporan yang diviralkan kononnya seorang kakitangan Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang cedera dalam kebakaran di Unit Rawatan Rapi hospital itu semalam, telah meninggal dunia.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Rooshaimi Merican A Rahim Merican berkata tiga kakitangan HSA yang cedera dalam kebakaran kira-kira 9 pagi itu kini dalam keadaan stabil di Hospital Sultan Ismail (HSI).

"Mereka sedang mendapatkan rawatan dan ada di antara mereka telah pun sedar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di HSI di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan media sosial mengenai Nurul Ain, antara jururawat yang dikatakan cedera dalam kebakaran itu, telah meninggal dunia.

Namun, setakat ini tiada senarai nama mereka yang cedera dikeluarkan secara rasmi oleh pihak bertanggungjawab.

Kebakaran di tingkat dua itu meragut nyawa enam pesakit di wad ICU manakala seorang lagi pesakit dan tiga kakitangan HSA dapat diselamatkan.

Terdahulu, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan melawat kakitangan yang cedera itu di HSI hari ini.

Baginda tiba di HSI kira-kira 10.30 pagi dan meluangkan masa kira-kira sejam dengan diiringi Pengarah HSI Arbain Lain dan Dr Rooshaimi.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Ayub Rahmat berkata seramai 51 pesakit HSA termasuk tiga kakitangan HSA ditempatkan di HSI. -- BERNAMA