KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menyediakan 382 pasukan termasuk 154 bagi perubatan yang memberi rawatan di pusat pemindahan sementara (PPS) pada Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh kali ini.

Pengarah KJNP Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata ia turut meliputi 132 pasukan kesihatan yang bertanggungjawab melakukan aktiviti pencegahan, pemantauan, kawalan penyakit dan pemeriksaan persekitaran PPS serta 96 pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) yang berperanan menangani isu kesihatan mental dalam kalangan penghuni pusat itu.

Beliau berkata pihaknya turut mengambil langkah berwaspada bagi memastikan perkhidmatan perubatan dan kesihatan tidak terjejas di semua fasiliti kesihatan kerajaan selain memastikan bekalan ubat mencukupi.

"JKNP telah memastikan bekalan sokongan elektrik, gas perubatan dan bekalan air dapat bertahan sekurang-kurangnya 48 jam bagi menampung keperluan di fasiliti kesihatan ketika menghadapi bencana banjir.

"Pelan mitigasi telah diselaraskan dengan pihak Tenaga Nasional Berhad, pembekal gas perubatan dan Pengurusan Air Pahang Berhad sekiranya bekalan terputus melebihi tempoh berkenaan," menurutnya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Dr Nor Azimi berkata pihaknya juga mengenal pasti fasiliti kesihatan yang berisiko terjejas banjir dan terputus hubungan berdasarkan pengalaman menghadapi bencana itu sebelum ini.

Beliau berkata sehubungan itu, perkhidmatan kesihatan bagi fasiliti terjejas banjir akan dipindah ke fasiliti berhampiran supaya perkhidmatan dapat diteruskan manakala aset perubatan dan dokumen penting dipindahkan ke fasiliti sementara.

"Bagi fasiliti kesihatan atau lokaliti yang terputus hubungan, perkhidmatan penerbangan ihsan akan turut digunakan untuk pemindahan pesakit, jika diperlukan, dengan kerjasama agensi seperti Tentera Udara Diraja Malaysia, polis, bomba dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia," katanya.

Dr Nor Azimi juga menasihati mereka yang terjejas banjir untuk mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan risiko penyakit seperti leptospirosis dan mellioidosis selain penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan, taun, hepatitis A serta deman kepialu.

Orang ramai dinasihat menggunakan air yang bersih serta tidak tercemar, mengambil makanan bersih selain menggunakan alat pelindung diri seperti but serta sarung tangan getah semasa melakukan aktiviti pembersihan selepas banjir.

-- BERNAMA