KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan pihaknya bersama pasukan siasatan masih lagi meneliti kesemua bukti baharu kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi (YAB), yang membabitkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh menjelaskan, sebarang  keputusan sama ada mendakwa semula Timbalan Perdana Menteri itu, pihak lain atau sebaliknya akan dibuat AGC selepas selesai siasatan yang lebih terperinci dan komprehensif.

Malah katanya, AGC juga tidak pernah menggunakan perkataan menarik balik atau withdraw dalam kes melibatkan Ahmad Zahid sebagaimana yang dinyatakan Majlis Peguam, baru-baru ini.

"Dalam hal ini, AGC menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Majlis Peguam yang mengatakan jabatan ini kononnya dengan sendirinya mencemarkan reputasi dan kredibilitinya.

"Justeru, kami meminta semua pihak untuk berhenti membuat sebarang spekulasi berhubung keputusan mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) YAB," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ahmad Terrirudin menjelaskan mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara boleh menghentikan pertuduhan di mana-mana peringkat selagi penghakiman belum diberikan mahkamah dan ini termasuk juga di peringkat selepas kes prima facie telah dibuktikan.

"Penting juga untuk dinyatakan bahawa ini bukanlah kali pertama sesuatu pertuduhan itu diberhentikan selepas kes prima facie dibuktikan.

"Jabatan ini menegaskan bahawa sebarang budi bicara yang dilaksanakan oleh Peguam Negara tidak dibuat dengan sewenang-wenangnya apatah lagi akibat daripada campur tangan oleh mana-mana pihak tetapi, semata-mata setelah Peguam Negara mengambil kira keadilan kepada semua pihak dan demi pentadbiran keadilan," ujarnya.

Beliau menegaskan, Peguam Negara dan AGC mempunyai kedudukan paling baik dalam membuat keputusan sama ada sesuatu pertuduhan tersebut seharusnya diteruskan atau tidak berdasarkan kepada pelbagai faktor termasuk laporan-laporan daripada pihak penyiasatan serta representasi-representasi yang dikemukakan.

Dalam kes berkaitan, beliau menjelaskan keputusan Peguam Negara untuk menggunakan budi bicara beliau di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan tidak sama sekali dibuat tanpa sebarang asas.

Sebaliknya, kata beliau, AGC mengemukakan 11 alasan kepada mahkamah, malah kesemua 11 alasan berkenaan telah pun dilaporkan di media di mana boleh diakses dan dibaca umum.

Ahmad Terrirudin memberitahu, berdasarkan representasi-representasi yang dikemukakan, adalah menjadi tugas seorang Peguam Negara untuk mempertimbangkan setiap alasan dan perincian yang diberikan oleh pihak tertuduh.

"Malah, Peguam Negara dan AGC juga dikehendaki (atas prinsip keadilan undang-undang) untuk turut bekerjasama dengan pihak penyiasatan berkenaan dengan setiap butiran yang dikemukakan tertuduh melalui representasi-representasi yang diberikan.

"Dalam erti kata lain, Peguam Negara serta jabatan ini tidak boleh secara semberono menolak representasi-representasi yang dikemukakan oleh mana-mana tertuduh, sebaliknya, perlu meneliti setiap butiran yang diberikan demi menegakkan proses undang-undang.

"Perlu diingatkan juga bahawa tugasan jabatan ini bukanlah untuk memastikan mana-mana tertuduh disabitkan melalui apa cara sekalipun," tambah beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tugas hakiki AGC adalah untuk memastikan proses undang-undang ditegakkan sepenuhnya berlandaskan kata-kata yang dikenali sebagai Blackstone Ratio: "It is better that ten guilty persons escape than that one innocent suffer".

Dalam kes membabitkan Ahmad Zahid katanya, representasi-representasi yang dikemukakan mempunyai terlalu banyak butiran dan setiap representasi mempunyai lebih daripada 200 muka surat, tidak termasuk dokumen-dokumen sokongan yang dilampirkan.

"Oleh itu, sudah tentu Peguam Negara serta jabatan ini perlu mengambil masa untuk meneliti setiap butiran dan dokumen yang disertakan dengan penuh hemah sebelum apa-apa keputusan boleh dibuat termasuklah meneliti representasi-representasi yang dikemukakan dan dokumen-dokumen yang dilampirkan serta seterusnya, berhubung dengan pihak-pihak penyiasatan sebelum sebarang keputusan dan tindakan boleh diambil," jelasnya.

Beliau menegaskan, Peguam Negara hanya melaksanakan tugas dan kewajipan beliau sebagaimana diperuntukkan di bawah undang-undang sedia ada.