Ringkasan AI
- Jabatan Penjara Malaysia sedang di fasa akhir menggubal peraturan dan syarat pelaksanaan tahanan di rumah untuk Datuk Seri Najib Tun Razak.
- Najib masih berada di Penjara Kajang kerana belum membayar denda RM50 juta, syarat utama untuk layak tahanan di rumah.
- Pengampunan bersyarat membenarkan Najib menjalani baki hukuman di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda.
JERTIH: Jabatan Penjara Malaysia kini di fasa akhir menggubal peraturan dan syarat bagi pelaksanaan tahanan di rumah, susulan keputusan pengampunan bersyarat yang membolehkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah itu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu sedang diusahakan susulan surat daripada Urus Setia Lembaga Pengampunan yang membolehkan Jabatan Penjara Malaysia menetapkan syarat bagi pelaksanaan tahanan di rumah berkenaan.
“Jabatan Penjara Malaysia sedang di fasa akhir, sedang menggubalnya. Negara kita tidak pernah ada (tahanan di rumah) sebelum ini tetapi tiba-tiba ada… Dalam surat Urus Setia Lembaga Pengampunan kepada Jabatan Penjara Malaysia, disebut Jabatan Penjara Malaysia bolehlah mengadakan apa-apa syarat.
“Jadi, tugas kami (Jabatan Penjara Malaysia) ialah untuk membangunkan satu set peraturan yang sekarang sedang diusahakan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Felda Tenang di sini hari ini.
Saifuddin Nasution bagaimanapun berkata Najib masih berada di Penjara Kajang kerana belum menjelaskan denda RM50 juta yang ditetapkan sebagai satu daripada syarat bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.
Bulan lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Baru-baru ini, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata anak guamnya itu akan menghabiskan baki hukuman penjara bagi kes SRC International bersama keluarga di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur menerusi perintah tahanan di rumah yang diterima daripada Sultan Ibrahim.
-- BERNAMA