KUALA LUMPUR: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mula melaksanakan Survei Ekonomi Tahunan 2022 (AES 2022) mulai Jumaat sehingga 30 Sept 2022 melibatkan sebanyak 110,000 pertubuhan perniagaan seluruh Malaysia.

Dalam satu kenyataan, jabatan itu berkata tujuan utama survei itu adalah untuk mengumpul maklumat tentang pertumbuhan, sumbangan, komposisi dan taburan output, nilai ditambah, guna tenaga dan pembolehubah lain bagi lima sektor ekonomi utama iaitu pertanian, pembuatan, perlombongan dan pengkuarian, pembinaan dan perkhidmatan.

Maklumat-maklumat utama lain yang dikumpul ialah kesan pandemik COVID-19 terhadap pertubuhan perniagaan, ekonomi digital termasuk e-dagang, kemudahan pembiayaan, inovasi dan penyelidikan dan pembangunan, perlindungan alam sekitar dan persediaan industri ke arah teknologi dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), katanya.

"Data yang dikumpul ini akan dianalisis bagi membolehkan kerajaan membuat perancangan dan penggubalan dasar berasaskan fakta," katanya.

Menurut DOSM, dapatan survei ini juga boleh dijadikan input oleh kerajaan untuk menilai pencapaian Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), terutamanya berkaitan memberi tumpuan untuk mengembalikan semula momentum pertumbuhan sektor ekonomi utama dan melonjakkan pertumbuhan industri strategik dan berimpak tinggi.

"Selain itu, ia juga akan digunakan untuk menstrukturkan semula ekonomi Malaysia sesuai dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) terutama bagi industri yang terkesan dengan pandemik COVID-19," jelasnya.

Menurut jabatan itu survei akan dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan temu ramah bersemuka dan penghantaran borang soal selidik melalui pos dan e-mel.

DOSM turut memperkenalkan 'e-AES', supaya responden boleh mengisi maklumat secara dalam talian bagi mengurangkan interaksi bersemuka antara pegawainya dengan responden yang seterusnya dapat membendung penularan COVID-19.

-- BERNAMA