JASIN: Jabatan Perikanan akan meningkatkan pemantauan dan rondaan di Kebun Kerang Melaka di perairan Sebatu di sini bagi mencegah kejadian curi hasil ternakan di kawasan berkenaan.

Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong berkata setakat ini pihaknya telah menerima satu laporan berhubung kecurian hasil kerang yang diusahakan daripada projek itu bulan lepas.

Beliau berkata walaupun kes kecurian itu tidak serius, namun pihaknya tetap mengambil langkah berjaga-jaga bagi mencegahnya, memandangkan kerang di kebun itu mendapat permintaan tinggi selaras dengan kualiti hasil ternakan di kawasan itu yang baik.

"Kita beri amaran mana-mana pihak supaya tidak melakukan aktiviti yang menyalahi peraturan selain tidak akan berkompromi dengan mereka yang terlibat melakukan kegiatan yang tidak bertanggungjawab itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bayaran Insentif Sara Hidup Sekali Beri Fasa 2 dan 3 kepada Nelayan Negeri Melaka di Merlimau di sini pada Selasa.

Katanya projek Kebun Kerang Melaka itu dilihat mampu memberi pulangan lumayan kepada peserta terlibat sekali gus dapat meningkatkan pendapatan nelayan, dan tidak terlalu bergantung kepada hasil tangkapan di laut semata-mata.

Terdahulu Low berkata 306 nelayan menerima bayaran insentif sara hidup dengan melibatkan jumlah RM135,000 dalam majlis berkenaan.

Katanya menerusi bantuan itu ia diharap mampu mengurangkan beban nelayan yang dilihat turut memerlukan bantuan dan perhatian melibatkan sumber kewangan atau bentuk bantuan lain bagi menampung kelangsungan hidup mereka.

-- BERNAMA