GUA MUSANG: Jabatan Perumahan Negara disaran meningkatkan lagi operasi menjejak perbuatan penghuni kawasan perumahan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang menyewakan unit kediaman yang seharusnya diduduki mereka kepada orang lain, termasuk kepada warga asing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata tindakan keras perlu dikenakan terhadap penyewa berkenaan, termasuk membatalkan kontrak menduduki PPR, kerana jelas sekali mereka tidak memerlukan rumah berkenaan.

Katanya ini sebagai peringatan kepada yang lain bahawa tiada kompromi terhadap penyalahgunaan kemudahan yang disediakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada mereka, dan seharusnya unit kediaman itu diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Mohd Syahbuddin yang ditemui selepas program Sambutan Tahun Baharu Cina @ Galas di Dewan Datuk Ariffin Said Ibu Pejabat Kesedar di sini malam tadi berkata, beliau menyokong tindakan Jabatan Perumahan Negara yang akan menamatkan kontrak beberapa penyewa warga tempatan di PPR Gua Musang, di sini, yang bertindak menyewakan semula rumah mereka kepada warga asing.

-- BERNAMA