Jadi mangsa sindiket penipuan, pesara awam rugi RM537,058

Mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis daripada AMLA.
BUKIT MERTAJAM: Seorang pesara penjawat awam mengalami kerugian RM537,058 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian yang mendakwa wanita warga emas itu terlibat pengubahan wang haram, dalam kejadian di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata wanita berusia 73 tahun itu, membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut pada 7 Dis, memaklumkan telah diperdaya dalam kes penipuan tersebut sejak 29 Ogos.
"Mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis daripada Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), memaklumkan wanita itu terlibat kes AMLA.
"Suspek memaklumkan terdapat satu akaun bank yang didaftarkan atas nama mangsa di Kangar, Perlis kononnya terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram, sebelum panggilan tersebut disambungkan ke Balai Polis Kangar dan bercakap dengan seorang pegawai polis yang lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata suspek itu memaklumkan bahawa akaun bank milik mangsa disyaki terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan meminta untuk menyerahkan semua kad ATM bank miliknya bersama nombor pin, dengan cara meletakkan semuanya di perhentian bas berdekatan rumah warga emas itu.
Helmi berkata wanita yang takut itu telah bertindak mengikut semua arahan diberikan, sebelum membuat pemindahan semua wang simpanan mangsa ke dalam akaun bank yang diserahkan kepada suspek kononnya untuk tujuan siasatan.
Beliau memaklumkan mangsa telah membuat pemindahan wang RM537,058 bermula 3 Sept hingga 6 Dis dan semakan dengan pihak bank mendapati wangnya mula dikeluarkan sejak 27 Nov hingga 5 Dis secara berperingkat menggunakan kad ATM di beberapa buah bank di kawasan Lembah Klang.
Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket penipuan tersebut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


