JOHOR BAHRU: Kepelbagaian kaum di Malaysia boleh menjadi kekuatan tetapi boleh juga menjadi unsur memecah-belah dan merosakkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, rakyat seharusnya menjadikan perbezaan itu sebagai kelebihan, sekali gus menjadikan perpaduan sebagai kekuatan Malaysia.

Menurutnya, generasi terdahulu bersungguh-sungguh menerapkan semangat perpaduan dan ia terserlah melalui moto dalam jata negara iaitu ‘Bersekutu Bertambah Mutu’.

Mengambil contoh negara Rwanda, Anwar berkata negara itu hancur akibat pergaduhan kerana perbezaan suku kaum dan seharusnya ia tidak berlaku di Malaysia.

“Bosnia, di antara kaum, penganut agama, dihasut, dibawa isu-isu kaum aku lebih gagah, kaum aku harus diperkasakan, kaum kamu bodoh, kaum kamu tidak bertamadun.

“Bergaduh, berpecah-belah, hampir hancur negara, baru hidup semula dari satu negara jadi tiga.

“Dari satu Yugoslavia, jadi tiga...kerana tarikan perkauman, tarikan agama yang sempit, bukan membawa rahmah, bukan angkat martabat keinsanan, tapi pecah belah, tanam kebencian.

“Atau ada juga tarikan dari segi wilayah, kenegerian yang keterlaluan sehingga rasa negeri aku paling hebat, benci yang lain. Saudara, selamatkan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2024 di Johor Bahru pada Sabtu.

Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Tambah Perdana Menteri, negara boleh bangkit kerana semangat perpaduan namun beliau memberi amaran, negara juga boleh hancur kerana perpecahan dan fahaman perkauman.

Beliau juga menasihatkan rakyat Malaysia, terutama anak muda, untuk belajar daripada sejarah kerana perpaduan sememangnya kekuatan negara ini.

“Bapa-bapa kita berjasa untuk menyatukan pelbagai kaum. Bermula dari Tanah Melayu, dengan Melayu, Cina, India, dengan kerjasama suku kaum kecil lain.

“Kemudian juga ada pelbagai suku kaum, Sabah dan Sarawak, itu jasa mereka (generasi terdahulu).

“Tanggungjawab anak-anak muda, jangan anggap perkara ini satu ketentuan yang boleh diremehkan,” ujarnya.