KUCHING: Semua rakyat Malaysia seharusnya menjadikan nilai perpaduan sebagai aset utama negara demi masa depan.

Demikian titah Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah yang berkenan merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2023 Peringkat Kebangsaan di Tebingan Kuching di sini hari ini.

“Tiga aspek paling utama berkaitan perpaduan setelah mendengar kata-kata anak muda tadi saya rasa terpanggil, untuk kita menjadikan nilai perpaduan sebagai aset negara paling utama demi masa depan.

“Kedua, kita harus mengurangkan perbezaan antara sesama kita sebagai rakyat Malaysia dan kurangkan jurang perbezaan kaum, agama, dan bangsa,” titah baginda.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda pada 11 pagi disambut Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut menyambut keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pada majlis sama, Al-Sultan Abdullah turut berkenan melancarkan lagu tema perpaduan yang menggabungkan pelbagai dialek di Malaysia bertajuk, Setia Perpaduan.

Minggu Perpaduan 2023 yang berlangsung dari 20 sehingga 28 Mei ini turut dijalankan di 15 lokasi di seluruh negara antaranya di Bertam Square, Pulau Pinang; Dewan Masyarakat Papar, Sabah; Dataran Tasik Kluang, Johor dan Pusat Rekreasi Pantai Balok, Kuantan, Pahang.

Bertemakan "Perpaduan Dalam Kepelbagaian", objektif utama penganjuran Minggu Perpaduan adalah untuk menyemarakkan semangat perpaduan serta menyebar pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap kepelbagaian adat serta budaya dalam masyarakat Malaysia.

Sebelum itu Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam ucapannya berkata nilai perpaduan seharusnya menjadi cara hidup dan amalan semua.

“Ia bukan rekayasa yang hanya indah di atas kertas dan bait lagu sahaja sebaliknya perpaduan adalah kesegaran dan nyalaan yang menguatkan seluruh rakyat Malaysia berkobar-kobar menjadi anak watan berjati diri terpuji,” katanya.

Selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan, katanya lagi, kementerian turut mengambil pendekatan menghasilkan Kerangka Madani berkonsepkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian (Unity in Diversity).

Di bawah kerangka ini terdapat tiga kluster program iaitu Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan dan Komuniti Rahmah.