Perpaduan yang dikecapi masyarakat hasil pelbagai program di negeri Johor wajar dicontohi memandangkan ia turut membawa kemewahan serta kemajuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Muafakat Johor di Plaza Angsana di sini hari ini, Kurup berkata beliau mengagumi program penggunaan cogan kata 'Muafakat Johor' yang ditonjolkan kerajaan negeri dalam memperkasakan perpaduan rakyatnya.

Katanya, cogan kata itu bukan sahaja telah berjaya menjadi identiti negeri ini, malahan telah memberi jalan kepada kerajaan negeri untuk membawa lebih banyak kemajuan.

"Kalau kita lihat, perpaduan adalah perkara yang amat penting dan Johor telah begitu menekankannya.

"Atas sebab itu, Johor kini berada dalam keadaan aman dan kita berharap, keamanan ini juga akan memberi kemewahan kepada rakyat di Johor," katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru agar semua persatuan dan pertubuhan rukun tetangga di negeri lain mencontohi program yang dilaksanakan ini bagi membudayakan perpaduan di tempat mereka, sekali gus mengelakkan perselisihan faham antara masyarakat berbilang kaum.

Turut hadir dalam program sempena sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Johor 2016 itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Negeri Johor, R. Vidyanathan.

--BERNAMA