KUALA LUMPUR:Malaysia dijangka menghadapi musim tengkujuh pada bulan November dan Disember 2020 yang boleh mengakibatkan bencana alam seperti banjir di beberapa buah negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Situsi berkenaan dikhuatiri berpotensi mengganggu sistem pengangkutan dan secara tidak langsung menjejaskan pengedaran bekalan makanan dan barangan keperluan di negeri-negeri yang terlibat.

Untuk itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menyediakan satu langkah pro-aktif bagi menghadapi musim banjir pada tahun ini dan memastikan bekalan keperluan asas mencukupi.

“Persediaan awal itu akan dilakukan menerusi Pelan Kontigensi Kawal Seliaan Bekalan Barang Kawalan dan Keperluan Asas Dalam Menghadapi Fenomena Bencana Alam.

“Tindakan-tindakan yang dicadangkan untuk dilaksanakan melalui pelan kontigensi ini akan bermula seawal bulan November 2020.

“Antara persiapan dan tindakan yang bakal dilaksanakan oleh Bahagian Penguat Kuasa adalah dengan mengaktifkan Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre) di negeri yang terlibat,” jelas KPDNHEP dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ini antara persiapan yang bakal dilaksanakan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP:

  1. Mengaktifkan Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre) di negeri yang terlibat.
     
  2. Mempergiatkan pemeriksaan dan pemantauan ke atas semua rantaian pengedaran barangan makanan samada di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.
     
  3. Membenarkan penambahan had simpanan barang kawalan dan barangan keperluan asas sehingga 30 peratus kepada pemborong dan peruncit terpilih.
     
  4. Mengadakan libat urus bersama industri pengeluar dan pengimport barangan kawalan dan keperluan asas bersama agensi-agensi kerajaan lain yang terlibat dalam pengurusan bencana alam.
     
  5. Membantu kumpulan sasar dengan pengagihan lebihan makanan melalui program foodbank.

Pada masa sama, KPDNHEP akan ambil tindakan ke atas pihak yang cuba melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan perundangan subsidiarinya atau kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Ia seperti melakukan pencatutan atau menjual barang kawalan melebihi harga maksimum yang ditetapkan sepanjang bencana alam ini berlaku.

“Bagi individu yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1 Juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun, manakala bagi badan korporat pula boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM2 Juta.

“Bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 pula, individu atau bukan pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, manakala bagi manamana pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM 500,000,” jelas KPDNHEP lagi.

BACA: PKPB: KPDNHEP jamin bekalan keperluan asas mencukupi, harga stabil