Cadangan had tempoh PM tidak rugikan negara - AMK

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim berkata cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal, tidak akan merugikan negara. - Foto BERNAMA
IPOH: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim berkata cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal, tidak akan merugikan negara.
Ringkasan AI
- Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal tidak akan merugikan negara, menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim.
- Muhammad Kamil menekankan bahawa pemimpin yang tidak dilantik semula selepas tempoh panjang masih boleh memberi sumbangan dalam pelbagai kapasiti lain, mengelakkan sebarang kesan negatif.
- Beliau turut menggesa Kerajaan Perpaduan untuk berhenti pertikaian sesama sendiri dan memberi tumpuan kepada pelayanan kepada rakyat, sambil menghargai pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mengekalkan kestabilan politik negara.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Kembali Ke Sekolah Tahun 2026 di bawah Inisiatif Sejahtera MADANI yang dianjurkan Pejabat Pembangunan Negeri Perak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dengan kerjasama strategik Pasar Raya Borong Sakan Sdn Bhd di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata had tempoh berkenaan boleh merugikan negara, jika pemimpin yang dilantik pada usia muda terbukti cemerlang, tetapi tidak boleh dilantik semula hanya kerana kekangan berkenaan.
Muhammad Kamil mengakui cadangan berkenaan mempunyai pro dan kontra, namun ia tidak seharusnya menyekat perubahan politik yang baharu dan segar di negara ini.
Sementara itu, Muhammad Kamil merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas pendirian untuk mengekalkan serta terus memperkukuh kestabilan politik negara.
"Tidak seperti pimpinan sebahagian kecil, pimpinan-pimpinan lain yang bercakap dengan emosi dan tidak berfikir dengan waras dan panjang ke hadapan, yang meletakkan kepentingan negara itu di hadapan melebihi kepentingan diri sendiri dan juga parti sendiri," katanya.
Semalam, Ahmad Zahid dilapor berkata UMNO tidak akan pernah melakukan tebuk atap pada kerajaan yang ada sekarang serta terus bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 diadakan.
Selain itu, Muhammad Kamil turut menggesa semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan supaya menghentikan pertikaian sesama sendiri, sebaliknya fokus kepada memberikan khidmat bakti kepada rakyat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


