KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) kini memantau enam prasekolah di negeri itu kerana dikhuatiri mengadakan sesi pembelajaran menyalahi hukum Islam.

Pengarahnya Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata ini berikutan pihaknya menerima laporan mendakwa pemilik tadika yang merupakan seorang wanita berusia 50-an, adalah antara pengikut ajaran "Asmaul Husna Wan Maseri" yang diwartakan sebagai ajaran sesat di beberapa negeri sebelum ini.

"Kita menerima laporan ini selepas ada guru yang mengajar di situ hadir ke pejabat JAHEAIK untuk membuat laporan sebaik ajaran itu diwartakan sesat dan meragukan.

"Guru itu mendakwa mereka dipaksa menghadiri sesi motivasi di markas ajaran tersebut di Pulau Mukhlisin dekat Danau To' Uban, Pasir Mas, dan sekiranya gagal akan berhadapan tindakan termasuk dipecat," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Balai Islam Lundang di sini, hari ini.


Isu Semasa | Ajaran Asmaul Husna cuba pengaruhi murid Tadika?

BACA: Ajaran Asmaul Husna dikesan masih aktif di Kelantan, giat rekrut ahli di media sosial

Februari lepas, pengasas ajaran berkenaan Dr Wan Maseri Wan Mohd yang dikatakan menyeleweng daripada amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah tampil mengaku kesalahan dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam atas ajaran mengelirukan yang dibawanya sebelum ini.

Wan Maseri juga secara terbuka melafazkan syahadah bagi memperbaharui keislamannya.

Mengulas lanjut, Che Mohd Rahim berkata sekalipun pengasas ajaran itu telah mengakui kesalahan selain kembali kepada aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, JAHEAIK mengambil maklum syor Panel Pakar Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia agar pemantauan berterusan dibuat terhadap ajaran tersebut dan pengikutnya.

"Ajaran ini dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penyelidikan dan Membasmi Ajaran Sesat pada Disember 2020 dan bersetuju dibawa ke Mesyuarat Jemaah Ulama Negeri Kelantan untuk difatwakan dalam masa terdekat," tambahnya.

Ajaran tersebut mula dikesan di Kelantan pada awal September tahun lepas apabila ada JAHEAIK menerima laporan pengikut ajaran itu mengadakan majlis zikir meragukan di markas mereka di Pulau Mukhlisin.

"Antara ciri-ciri kesalahan ajaran itu ialah menghuraikan ajaran berkaitan agama mengikut akal tanpa guru, mendakwa ilmu 'makrifat Asmaul Husna' datang secara langsung daripada Allah, berqiamullail dengan berimankan Imam Mahdi dan memperkecilkan kemuliaan Rasulullah Nabi Muhammad SAW," kata Che Mohd Rahim.

-- BERNAMA