SEMABOK: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengesan kegiatan sindiket pernikahan palsu membabitkan pasangan warga asing terutama etnik pelarian Rohingya di negeri berkenaan.

Pernikahan ekspres yang hanya bermodalkan RM450 bagi setiap pasangan itu terbongkar selepas jabatan itu menahan pasangan etnik Rohingya dan warga negara jiran dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Pulau Senang, Semabok, awal pagi tadi.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, dalam serbuan itu, pasangan berusia 30 tahun terbabit mengakui bernikah di sebuah rumah di Melaka yang dikendalikan oleh seorang ‘ustaz’.

Tambahnya, JAIM dalam pada itu juga akan membuka kertas siasatan berhubung kegiatan sindiket itu selepas menahan pasangan terbabit.

"JAIM sedang siasat tetapi dalam kes ini kita fokus kepada Seksyen 53 dahulu. Cuma pada hari ini, kita fokuskan tangkapan khalwat sahaja.

"Walau bagaimanapun untuk seksyen seterusnya yang melibatkan pernikahan pertama kali yang tidak sah itu akan diuruskan kertas siasatan.

"Memang kita tidak nafikan (kewujudan sindiket pernikahan ini), tetapi yang itu akan diuruskan dan disiasat semula oleh Jabatan Agama Islam Melaka ekoran daripada penemuan kes," kata Che Sukri.

Beliau ditemui media selepas mengetuai operasi bersepadu menggempur penempatan etnik Rohingya di Semabok awal pagi tadi.

Nikah Palsu | JAIM jalankan siasatan, kesan sindiket terlibat


Kata beliau, pasangan berkenaan gagal menunjukkan sijil nikah yang sah kepada penguat kuasa JAIM.

Ujarnya, pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan mendatangkan syak.

Sementara itu, operasi bersepadu selama tiga jam bermula 12 tengah malam itu melibatkan lima agensi termasuk polis, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Dalam operasi berkenaan, seramai 11 warga Nepal berusia di antara tiga dan 40 tahun ditahan selepas didapati tinggal di negara ini tanpa dokumen yang sah.

Turut menyertai operasi berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Mohd Noor Helmy ketika ditemui selepas operasi itu berkata, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya menerima pelbagai aduan daripada penduduk tempatan berhubung masalah sosial yang ditimbulkan etnik terbabit.