Jabatan Agama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (JAIP) akan menjalankan rondaan harian di sepanjang bulan Ramadan ini bagi mengesan umat Islam yang tidak berpuasa.

Ketua Penolong Pengarah JAIP Ahmad Raffli Ab Malek berkata seramai 70 anggota Bahagian Penguatkuasaan JAIP akan menjalankan rondaan harian dengan dibantu pegawai masjid serta anggota penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan.

"Menerusi kerjasama itu, kita dapat mempertingkatkan rondaan seberapa kerap serta dapat memperluaskan lagi kawasan rondaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, individu yang ditangkap atas kesalahan tidak berpuasa boleh mengikut Seksyen 137 Enakmen Peraturan Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

"Mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM500 atau tiga bulan penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata pihak JAIP juga akan memasang banting bagi memberi kesedaran dan peringatan kepada umat Islam mengenai kewajipan menunaikan ibadat puasa di lokasi terpilih.