KUCHING: Semua jajaran 'redline' yang melibatkan jalan persekutuan dan jalan negeri di Sarawak akan direka bentuk semula dan dinaik taraf agar mengikut standard Projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan berkata, keputusan berkenaan dicapai dalam satu mesyuarat membabitkan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya Sarawak yang dipengerusikannya di sini pada Isnin.

Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, ialah  hala tuju untuk memperkemaskan reka bentuk dan isu penyenggaraan jajaran 'redline' ini.

Istilah ‘redline’ membawa maksud laluan asal sedia ada sebelum pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dan ia melibatkan kawasan Kuching, Serian, Sibu, Bintulu, Julau dan Miri.

Jajaran ini sepanjang 136.7 kilometer dan tidak terlibat dalam pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dan kini berada dalam keadaan yang daif, kerana sewaktu dibina dahulu, ia tidak menyamai standard ditetapkan di bawah pembinaan baharu lebuh raya itu.

Jelas Alexander, naik taraf dan pemulihan segera jajaran redline ini dijangka mengoptimumkan daya sumber Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak namun ia perlu bagi menjamin kelancaran, keselesaan dan keselamatan kepada pengguna jalan lebuh raya di negeri ini.

“Ia akan menyamai kualiti semua 11 pakej kontrak kerja (WPC) Pan Borneo yang diluluskan, membabitkan laluan sepanjang 786 km.

Dalam mesyuarat semalam (Isnin) jelas Alexander lagi, beberapa model penyelesaian telah dicadangkan dan Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang meneliti semua cadangan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, sebelum diputuskan di peringkat Persekutuan.

Secara keseluruhan status terkini peratus penyiapan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak Fasa 1 adalah 99 peratus dan dijangka akan dibuka sepenuhnya pada suku kedua tahun 2024, kecuali Seksyen Lambir (WPC11) di Miri yang perlu direka bentuk semula dengan jangkaan siap pada tahun 2026.