KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang membangunkan sistem Kecerdasan Buatan (AI) bagi mempermudahkan prosedur meluluskan permohonan sijil halal.

Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Mohamad Zamri Mohamed Shapik berkata teknologi itu dijangka membantu JAKIM terutama dalam menganalisis ramuan makanan yang digunakan dalam sesuatu produk.

Beliau berkata perkara yang paling rumit dalam prosedur meluluskan permohonan sijil halal adalah untuk memeriksa ramuan-ramuan dalam sesuatu produk itu.

"Sebagai contoh, dalam permohonan pensijilan halal makanan di hotel, ada ratusan menu yang perlu kita semak dan bahan yang digunakan bukan sikit tetapi ribuan.

"Kalau kita gunakan khidmat manusia, ia memerlukan tenaga yang ramai dan penggunaan AI ini bukan sahaja membantu kita malah pihak industri dan menjadikan proses permohonan sijil halal itu cepat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, di sini malam ini.

Sementara itu, Mohamad Zamri berkata pensijilan Halal Malaysia terus diiktiraf oleh dunia apabila berjaya mengekalkan kedudukan di tempat pertama daripada 81 negara bagi tahun ke-10 berturut-turut.

Menurutnya, rekod itu harus dipertahankan dengan mengekalkan integriti yang tinggi dalam mematuhi standard ditetapkan selama ini bagi memastikan pensijilan halal Malaysia terus dihormati di mata dunia.

-- BERNAMA