NATIONAL
JAKIM rekod lebih 300,000 aduan kekeluargaan, masalah akhlak tertinggi

Sirajuddin Suhaimee (tengah) pada sidang media selepas perasmian Kursus Pascaperkahwinan Islam Peringkat Jakim di sebuah hotel, hari ini. - Foto BERNAMA
PORT DICKSON: Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) merekodkan sebanyak 378,815 kes aduan kekeluargaan bagi tempoh 2021 hingga 2023, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Sirajuddin Suhaimee.
Ringkasan AI
- Jumlah Aduan Kekeluargaan: Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) merekodkan 378,815 kes aduan kekeluargaan dari 2021 hingga 2023, dengan masalah akhlak atau sosial sebagai aduan tertinggi.
- Program dan Bantuan JAKIM: JAKIM melaksanakan pelbagai program seperti kursus pascaperkahwinan dan menyediakan kaunseling dalam talian melalui KSK Care untuk menangani konflik rumah tangga dan mengurangkan kes perceraian.
- Komitmen Menangani Ajaran Sesat: JAKIM komited menangani masalah ajaran sesat melalui penguatkuasaan, dakwah, dan penyebaran maklumat, serta menggesa orang ramai melaporkan ajaran yang diragui kebenarannya.
"Kita memberikan kaunseling secara dalam talian oleh kaunselor bertauliah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pascaperkahwinan Islam Peringkat JAKIM 2024 'Fasa Semarak Kasih' selama tiga hari bermula Jumaat yang dihadiri 19 pasangan di sini hari ini.
Beliau berkata JAKIM melaksanakan pelbagai program untuk menangani konflik dan isu keruntuhan rumah tangga, serta meningkatkan usaha untuk mengurangkan kes perceraian dalam kalangan umat Islam melalui kursus pascaperkahwinan dan program berkaitan lainnya.
Sirajuddin berkata kursus tersebut dilaksanakan sebagai platform untuk membantu pasangan suami isteri menambah ilmu mengenai rumah tangga dan kekeluargaan, bagi mencapai kehidupan yang lebih harmoni dan bahagia, serta meningkatkan semangat dan prestasi kerja masing-masing.
Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan komitmen JAKIM dalam menangani masalah ajaran sesat di negara ini, yang melibatkan penguatkuasaan, dakwah, dan penyebaran maklumat sebenar mengenai penyelewengan ajaran akidah.
"Sekiranya terdapat maklumat mengenai ajaran sesat, tindakan segera akan diambil oleh pihak berkuasa agama negeri setelah mendapat keputusan daripada Jawatankuasa Fatwa negeri dan pandangan daripada jawatankuasa muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI)," katanya.
Beliau berkata perbincangan mengenai hukuman yang lebih berat untuk mereka yang mengembangkan ajaran yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah masih di peringkat jawatan kuasa, bertujuan untuk meningkatkan tindakan dan hukuman yang sewajarnya.
Sirajuddin menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ajaran yang diragui kebenarannya untuk memaklumkan kepada JAKIM atau jabatan agama Islam negeri agar tindakan sewajarnya dapat diambil.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami