KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan mewujudkan sebuah pasukan petugas untuk meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata pasukan itu melibatkan pelbagai agensi terutamanya Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM) dan agensi kerajaan berkaitan.

"Bagi tujuan logistik ke kawasan terletak jauh di pedalaman, JAKOA akan meneruskan jalinan kerjasama bersama bomba mahupun pihak Angkatan Tentera Malaysia untuk bantuan helikopter.

"Pasukan petugas ini akan digerakkan segera susulan pengumuman KKM mengenai tarikh akhir pemberian dos pertama vaksin pada 15 Mei ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JAKOA 2021 dan Majlis Khidmat Bakti 2022 di sini pada Jumaat.

Menurutnya, setakat 14 April, 12 peratus atau 3,602 kanak-kanak Orang Asli telah divaksinasi daripada keseluruhan 29,951 kanak-kanak yang layak untuk divaksin, menyaksikan Perak mendahului dengan 2,738 kanak-kanak dari golongan itu telah divaksin.

Beliau berkata peratusan rendah itu berpunca daripada kebimbangan ibu bapa terhadap kesan sampingan selain faktor penempatan terletak di kawasan pedalaman dan pendedahan yang kurang terhadap kepentingan vaksin untuk anak-anak.

"Namun begitu, masyarakat Orang Asli tidak pernah menolak program vaksinasi dijalankan kerajaan dan ini dibuktikan melalui peratusan vaksinasi golongan dewasa masyarakat itu yang melebihi sasaran kebangsaan," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman menyampaikan hadiah berupa Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bernilai RM1,000 dan sijil penghargaan kepada 85 pegawai dan kakitangan JAKOA pada Majlis APC JAKOA 2021 dan Majlis Khidmat Bakti 2022.

Majlis itu turut meraikan 13 pesara dengan pemberian hadiah berupa SSPN-i bernilai RM400 dan sijil penghargaan.

-- BERNAMA