PEKAN: Laluan FT012, Jalan Kuantan-Segamat Seksyen 102 yang ditutup kepada semua kenderaan akibat jalan mendap sejak 7 Januari lalu telah dibuka semula pada Sabtu.

Kerja-kerja pemasangan jambatan sementara (jambatan bailey) yang dimulakan pada 11 Januari lalu telah siap dan dibuka di kedua-dua hala kepada kenderaan dengan had muatan dibenarkan tidak melebihi 20 tan serta had kelajuan 30 kilometer sejam.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Pekan melalui notis pemberitahuan menasihatkan pengguna agar berhati-hati ketika melalui laluan tersebut dan sentiasa mematuhi arahan papan tanda yang telah disediakan.

Kesulitan dihadapi pengguna ekoran penutupan jalan itu mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka Baginda berkenan berangkat meninjau lokasi itu pada 11 Januari lalu.

Sempena lawatan itu, Al-Sultan Abdullah menitahkan agar kerja-kerja pemasangan jambatan bailey di laluan itu disegerakan selepas diberikan taklimat oleh Pengarah Kerja Raya Pahang, Datuk Ir Hafizah Zakaria tentang situasi semasa kerja-kerja pembaikan jalan itu.

Jambatan sepanjang 30 meter dengan lebar sembilan meter itu dihadkan hanya kepada kenderaan tidak melebihi 20 tan dan boleh dilalui kedua hala bagi mengurangkan gangguan lalu-lintas. - Sinar Harian