Pengerusi Gabungan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu, Datuk Seri Jamal Md Yunos membuat kejutan hari ini apabila tampil dengan hanya bertuala, membawa gayung, sabun dan berus gigi di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor dengan niat ingin menumpang mandi.

“Tiada air di rumah saya selama empat hari dan saya tidak mandi selama dua hari, saya hanya nak mandi di bangunan Pejabat Menteri Besar Selangor,” kata Jamal di sini hari ini.

Jamal yang tiba di pintu utama bangunan itu jam 9.40 pagi tadi bagaimanapun dihalang daripada memasuki perkarangan SUK.

"Saya hanya mahu periksa sama ada pejabat menteri besar ada air dan bukalah pintu, saya nak mandi.

"Jika tidak ada air di rumah saya esok, saya akan datang balik. Saya akan bayar 20 sen untuk mandi. Kenapa takut nak buka pintu? Saya tak bawa sebarang senjata atau bom. Saya tidak akan ganggu sesiapa pun.

"Jangan beritahu saya awak (pengawal keselamatan) perlu tanya Datuk Seri Azmin Ali (Menteri Besar) untuk bagi saya mandi," katanya di sini.

Jamal yang tiba di pintu utama bangunan itu jam 9.40 pagi tadi bagaimanapun dihalang daripada memasuki perkarangan SUK.
Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu berkata, tindakannya tiada kaitan dengan politik, sebaliknya hanya mahu mempastikan penduduk Selangor mendapat bekalan air.

Katanya, hasil pemeriksaan di sebuah surau di Ampang pagi tadi juga mengalami masalah tiada bekalan air dan kerajaan negeri perlu bertanggungjawab sepenuhnya.

Beliau mendakwa kerajaan negeri Selangor pimpinan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hanya mementingkan politik, bukannya keperluan rakyat termasuk isu gangguan bekalan air.

"Beliau sibuk mengadakan ceramah sehingga 3 pagi dan tidak peduli tentang keperluan rakyat dan hari ini juga masyarakat Cina meraikan perayaan Winter Solstice," katanya lagi.

Gangguan bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur berlaku secara berperingkat sejak 8 pagi Isnin lepas berikutan kerja penyelenggaraan pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Bukit Badong, Kuala Selangor, mengakibatkan loji-loji rawatan air utama ke kawasan Selangor dan Kuala Lumpur tidak dapat beroperasi.

Ia dikatakan menjejaskan 3.8 juta pengguna di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur. Tempoh asal gangguan dijadualkan sehingga Sabtu, sehari sebelum sambutan Krimas.

Bagaimanapun, kerja-kerja penyelengaraan itu sudah selesai dalam tempoh 16 jam dan beberapa kawasan sudah mula mendapat bekalan air bermula semalam.