IPOH: Jangan hanya bila berlaku kemalangan jiwa, baru hendak salurkan peruntukan untuk naik taraf jambatan ini, ujar Ahli Dewan Undangan Manjoi, Datuk Asmuni Awi.

Beliau merujuk kepada keadaan jalan di jambatan Sungai Pari di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Chepor yang menjadi laluan harian serta jalan pintas kepada ribuan pengguna jalan raya.

Katanya jambatan itu turut menjadi penghubung kepada mereka yang melaluinya dari Jalan Kuala Kangsar untuk ke Meru Raya.

Asmuni berkata, jambatan berkenaan sudah tidak selamat untuk digunakan memandangkan terdapat lubang di bahagian tengahnya, selain stuktur jalan yang tidak rata.

Tinjauan di lokasi hari ini juga mendapati terdapat lapisan besi nipis yang sudah terkeluar, ia menjadi penampan konkrit lapisan bahagian atas.

Foto Astro AWANI

"Rancangan pembinaan baharu di RPT Chepor itu adalah di bawah peruntukan dan seliaan Pejabat Daerah dan Tanah Kinta.

"Ia di bawah projek menaiktaraf jambatan penghubung Kampung Seri Klebang dan Kampung RPT Chepor.

"Struktur jambatan ini dilihat terlalu lemah kerana ia disambung dua pada penyambung yang berlubang dan di bawahnya sudah tinggal sekeping besi nipis yang menjadi penampan konkrit lapisan bahagian atas.

"Kita juga melihat retaknya sudah semakin lebar, jika ada kenderaan berat yang lalu betul-betul di atas rekahan itu ia akan patah dan ia akan menimbulkan masalah yang lebih besar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau jambatan berkenaan pada Rabu.

Hadir sama, masyarakat setempat yang turut mahu masalah itu diselesaikan dengan kadar segera.

Baharum Mohd Yusuf, 68, yang tinggal di RPT Chepor lebih 30 tahun lalu berkata, jambatan yang sudah berusia kira-kira 25 tahun itu perlu dibaiki segera.

"Isu ini sudah lama malah telah dibangkitkan beberapa kali kepada pihak berwajib.

"Keadaan jalan di atas jambatan juga tidak rata, tinggi sebelah dan berbahaya, ramai pengguna jalan raya yang alami kemalangan di situ," katanya.

Jelasnya, terdapat lebih 200 kediaman berada berhampiran kawasan tersebut dan penduduk terutama dari Klebang serta Tasek Damai akan menggunakan jambatan itu.

Sementara itu seorang lagi wakil penduduk, Ahmad Shafiq Ahmad Ariffin berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak sejak 2019 lalu.

"Sejak tahun 2014 sehingga kini terdapat sekurang-kurangnya sepuluh kemalangan di laluan jambatan itu," katanya.

Dalam pada itu, Asmuni turut berharap supaya tindakan jangka pendek diambil untuk menyelesaikan masalah tersebut.

"Kita sudah memaklumkan pihak yang berkaitan berkenaan keadaan terkini jambatan.

"Kita mengharapkan selepas ini ada tindakan susulan segera diambil, khususnya dari pihak Pejabat Daerah dan JPS untuk memperbaiki kerosakan yang ada sementara menanti tindakan jangka panjang membina semula jambatan ini," katanya.