TAIPING: Beraya sambil berkelah, itu pendekatan yang dilakukan menerusi perayaan yang menghimpunkan komunti Taiping, di sini sempena Hari Raya Aidilfitri.

Lebih istimewa apabila masing-masing yang hadir segak mengenakan pakaian kebangsaan baju Melayu dan baju kurung.

Bertempat di lokasi riadah popular Raintree Walk Taman Tasik Taiping, program julung-julung kali itu berjaya mendapat sambutan pelbagai bangsa, sekali gus memperkukuh perpaduan kaum.

Menurut Orang Besar Jajahan (OBJ) Larut Matang dan Selama (LMS), Datuk Seri Wan Mohd Isa Wan Mohd Razali, ia merupakan cadangan yang diutarakan oleh orang ramai di media sosial.


"Sebenarnya idea dan cadangan orang ramai ini dari tahun lepas, namun hanya tahun ini dapat direalisasikan, itu pun dalam tempoh singkat kita atur.

"Kita buat hebahan menerusi kumpulan WhatsApp, kita mahu raikan hari raya bersama-sama, makanan dan minuman dihidang secara juadah bawaan atau 'potluck'.

"Semua yang hadir merupakan anak jati Taiping, tidak kira yang merantau atau memang menetap di sini," katanya ketika ditemui di Raintree Walk, di sini pada Sabtu.

Tambah Wan Mohd Isa, untuk perancangan tahun depan, dia bercadang untuk melaksanakan sambutannya secara besar-besaran, di lokasi sama.

Sementara itu, Kamariah Wan Othman yang hadir bersama-sama keluarga berkata, program demikian berjaya menyatu padukan masyarakat.


"Harapan saya untuk masa akan datang, lebih ramai menyertainya, di samping melibatkan orang ramai di luar Taiping.

"Memang sangat teruja sebab program ini santai di lokasi yang memang cantik dengan pemandangan pokok serta tasik," katanya.

Muhammad Adam Haiqal Mohd Noor pula berkata dia mengambil peluang untuk menyertai jamuan itu ketika pulang beraya di kampung halaman.

Katanya, dia mengakui tidak ramai golongan muda yang menyertainya, namun dia berharap lebih banyak promosi untuk menarik perhatian umum.


"Melalui program ini, kita dapat mengenal adat tradisi Melayu, berkumpul dengan semua golongan tidak kira tua atau muda.

"Suasana macam berkelah sambil beraya, santai dan bergambar bersama komuniti di sini, harap tahun depan lebih meriah," katanya.


Terdahulu, jamuan raya komuniti Taiping itu dihadiri lebih 200 orang dengan berlatarbelakangkan pemandangan pokok Hujan-Hujan atau nama saintifiknya Samanea Saman yang menjadi ikon Bandar Warisan.