NATIONAL
Jangan ambil mudah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan - Perdana Menteri
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan agar rakyat jangan berlengah untuk mendaftar diri bagi mendapatkan vaksin apabila tiba masanya. - Gambar BERNAMA
PUTRAJAYA:Rakyat Malaysia diingatkan supaya tidak mengambil mudah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan bermula hujung bulan ini.
Justeru, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jangan berlengah untuk mendaftar diri bagi mendapatkan vaksin apabila tiba masanya.
Jelas Muhyiddin lagi, vaksinasi amat penting bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga melindungi orang tersayang.
"Apabila semua orang telah dilindungi dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini berjaya dilaksanakan, impak positif akan mula kita rasai.
“Pelbagai sektor ekonomi akan dibuka semula, seperti pelancongan. Kita boleh saling ziarah-menziarahi, aktiviti bersukan juga boleh kita amalkan, tetapi dengan mengamalkan norma baharu.
“Inilah yang saya maksudkan apabila saya katakan bahawa vaksin COVID-19 adalah antara sinar harapan kita yang paling utama untuk kita menang dalam perang melawan COVID-19.
“Pastinya, satu lembaran baru bakal terbuka dengan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada penghujung bulan ini,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara maya di Pejabat Perdana Menteri di sini, hari ini.
#Muhyiddin Yassin
#ekonomi
#Perdana Menteri
#Malaysia
#COVID-19
#vaksin COVID-19
#bekalan vaksin
#rakyat Malaysia
#vaksin