PUTRAJAYA:Saringan sejarah alahan dan kesihatan akan dilakukan sebelum seseorang individu itu boleh disahkan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bagi memastikan hanya individu yang benar-benar sihat sahaja diberikan suntikan vaksin bagi mengelakkan sebarang kesan sampingan.

“Selepas seorang itu diberikan suntikan vaksin, kita akan membuat pemantauan, terutamanya selepas sahaja disuntik untuk tempoh 15 hingga 30 minit di pusat pemberian vaksin, sebelum penerima vaksin dibenarkan pulang.

“Ini bagi memastikan tiada reaksi alahan yang agak serius sejurus menerima suntikan, sebelum mereka dibenarkan pulang.

“Seperti vaksin lain, vaksin COVID-19 ini mempunyai kesan sampingan yang agak ringan kepada pesakit, misalnya bengkak di tempat suntikan dan sebagainya.

"Tetapi saya percaya kesan sampingan ini akan dapat pulih sendiri,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara maya di Pejabat Perdana Menteri.

Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.


Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa memantau perkembangan di negara-negara yang lebih awal menjalankan program vaksinasi COVID-19 dan kesan sampingan selepas suntikan diberikan.

“Sekiranya ada perkara-perkara tertentu yang memerlukan misalnya, sejarah kesihatan diambil oleh pihak kerajaan, maka Kementerian Kesihatan akan meneliti dan mengkaji apakah langkah-langkah seterusnya yang perlu diambil bagi memastikan proses imunisasi yang kita laksanakan tidak akan terganggu,” jelas beliau lagi.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meletakkan harapan tinggi agar tiada sebarang insiden atau perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksanakan.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata, bekalan vaksin COVID-19 keluaran syarikat Pfizer-BioNTech akan tiba di negara ini pada 21 Februari dan roll-out pelaksanaannya akan bermula 26 Februari.