KUALA LUMPUR: Semua pihak terutama ahli politik diminta agar tidak membangkitkan sebarang isu yang boleh meruntuhkan perpaduan di negara ini.

Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan Tahun 1445H/2023M Datuk Abdul Monir Yaacob berkata isu perkauman contohnya harus dielak daripada dijadikan bahan politik kerana perkara kepentingan kaum telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Bagi saya... jangan jadikan apa-apa isu yang boleh meruntuhkan perpaduan. Semua orang inginkan perpaduan, baik ahli politik mahupun masyarakat pelbagai kaum," kata bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) itu.

Abdul Monir berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/ 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Oleh itu, beliau berkata ahli politik perlu memainkan peranan penting dalam memastikan isu perpaduan antara rakyat di negara ini tidak diremehkan.

Semasa ditanya mengenai perasaan beliau setelah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah, Abdul Monir, 77, menzahirkan rasa syukur kerana usahanya selama ini dihargai.

"Dan saya juga menerima beberapa ucapan selepas mendapat penganugerahan ini daripada orang ramai yang mengatakan 'selayaknya lah saya memperolehnya'," kata beliau.

Menurutnya lagi, fasa beliau membangunkan ummah telah berlalu apabila sebelum ini beliau sering dijemput untuk memberi pandangan kepada orang ramai dalam topik undang-undang dan syariah Islam serta hak asasi manusia di dalam dan luar negara.

Meskipun perjuangannya telah berlalu, namun beliau masih bergiat aktif dalam menyatukan ummah melalui penulisannya.

"Saya sudah menerbitkan 11 buah buku ... dan pernah mendapat anugerah. Ada dua buku yang saya belum terbitkan kerana saya sekarang sedang menulis tesis untuk pengajian Doktor Falsafah (PhD)," katanya.

Terdahulu, beliau dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1445H/ 2023M oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/ 2023.

Turut berangkat pada majlis itu adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

-- BERNAMA