Hanya lapan peratus penjualan tiket dicatat pada permulaan minggu kedua Ramadan menunjukkan sikap rakyat negara ini yang suka membeli tiket untuk pulang berhari raya pada saat-saat akhir.

Pengurus Kanan Operasi Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Faizal Redza Redzuan berkata, trend itu menjadikan kerumitan kepada orang ramai sendiri yang disifatkan perlu merancang setiap perjalanan pulang ke kampung pada musim perayaan.

"Hanya lapan peratus sahaja, walau ia dijangka meningkat sekitar minggu ketiga Ramadan, ia membuktikan kurang perancangan dibuat masyarakat yang ingin pulang berhari raya.

"Kebanyakan pelanggan menunggu sehingga saat akhir untuk membeli tiket, jadi kita minta rakyat Malaysia yang ingin beraya di kampung halaman supaya membeli tiket awal bagi mengelakkan masalah kehabisan tiket,'' katanya.

Ujarnya, penjualan tiket telah bermula sebulan awal menggunakan sistem tiket bersepadu dan semua syarikat bas telah memuat naik semua jadual perjalanan bagi memudahkan pengguna.

Kaunter di TBS dibuka 24 jam sehari untuk kemudahan orang ramai.

Secara purata, TBS yang menguruskan perjalanan bas ke selatan merekodkan sebanyak 120,000 keping jualan tiket apabila tiba musim perayaan.

TBS merupakan stesen bas bersepadu yang memberi perkhidmatan bas ke selatan Semenanjung Malaysia yang siap pada November 2010.

Dalam pada itu, tiket bagi perkhidmatan kereta api ke Pantai Timur bermula 20 hingga 27 Julai telah habis dijual.

Pengurus Kanan Pemasaran Keretapi Tanah Melayu (KTMB) Antara Bandar, Mohd Noordin Kimi berkata sebanyak 11,000 tiket ke pantai timur telah habis dijual setakat ini namun masih terdapat 1,824 tiket perjalanan bagi tarikh sebelum 20 Julai.

Katanya, sejumlah 17,571 daripada keseluruhan 26,808 tiket untuk tren berjadual ke seluruh negara telah habis dijual setakat ini.

"Perkhidmatan tambahan akan disediakan ke semua destinasi namun ia akan diumumkan kemudian," katanya.

Jelas Mohd Noordin, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai tiket dan waktu perjalanan kereta api boleh melayari laman sesawang di www.ktmb.com.my atau menghubungi pusat maklumat KTMB di talian 03-22671200.