Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi peringatan kepada ahli Parlimen dan politikus bukan Islam supaya tidak berkelakuan seperti Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau dikenali Ahok.

Ahli Parlimen Marang itu mengulas susulan tindakan beberapa ahli politik yang menentang pembentangan usul meminda Akta Mahkamah Syariah.

“Suka saya menjelaskan betapa perlunya perbahasaan usul ini ditangguh walaupun usul ini mengikut proses demokrasi mewakili ahli Parlimen Islam sama ada PAS, UMNO dan lain-lain.

“Usul ini berkait dengan agama Islam sahaja iaitu perkara agama Islam bawah bidang Duli Yang Maha Mulia, yang tidak sepatutnya diganggu oleh kalangan bukan Islam.

“Namun terdapat ahli-ahli politik bukan Islam yang saya percaya mereka tidak mewakili masyarakat bukan Islam sepenuhnya, lebih untuk mendapat keuntungan politik daripada kepentingan awam.

“Saya beri peringatan pada mereka jangan berlagak seperti Ahok di Jakarta,” tegasnya.

Ahok didakwa menghina al-Quran selepas mempertikaikan penggunaan sepotong ayat dalam surah al-Maidah yang dijadikan alasan untuk menolak kepimpinan beliau.

Ayat itu berkaitan status bukan Islam sebagai pemimpin bagi orang Islam.

Ahok akan mempertahankan kerusi gabenor Jakarta yang disandangnya. Selain berdepan pendakwaan di mahkamah, lautan manusia memenuhi Jakarta sebelum ini bagi menyatakan bantahan terhadap gabenor pertama berbangsa Cina di Indonesia itu.

Hadi (PAS-Marang) sebentar tadi membentangkan usulnya untuk meningkatkan hukuman Mahkamah Syarikah kepada 30 tahun penjara, denda sehingga RM100,000 dan 100 kali sebatan.

Penjelasan usul akan dibuat pada sesi akan datang.