Jangan berprasangka negatif kepada kami!

Itulah luahan segelintir masyarakat dan penduduk di sekitar kawasan Kampung Dato' Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato' Ibrahim Majid, Simpang Renggam, dekat Kluang, yang kini masuk hari kedua berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Luahan hati itu dinyatakan dalam laman Facebook Kumpulan Simpang Renggam, yang rata-rata mahu persepsi negatif dan prasangka oleh segelintir masyarakat yang mendakwa kononnya mereka tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum PKPD dikuatkuasakan, dihentikan.

Sebaliknya, mereka memohon supaya sama-sama mendoakan agar ujian yang diturunkan Allah SWT kepada mereka ini dapat dilalui dengan penuh kesabaran.

Penduduk Nor Aslina Paradi, 41, dari Kampung Parit Penghulu yang terletak di bawah pengawasan PKPD dan berhampiran Bandar Dato' Ibrahim Majid, berkata setakat ni, pihak berkuasa telah membantu menjaga keselamatan dan turut menyampaikan maklumat yang tepat kepada mereka.

"Saya menyeru pada semua di luar sana. Tolong jangan berprasangka negatif pada kami sebab kami memang menjaga pergerakan dan tolong sama-sama beri sokongan moral agar kami lebih kuat menghadapi ujian Allah ini," katanya ketika dihubungi BERNAMA, hari ini.

Nor Aslina yang bekerja sebagai tukang jahit dan berkerusi roda berkata bekalan makanan di rumahnya kini semakin susut dan mendakwa tiada bantuan bekalan makanan diperolehnya setakat ini.

Beliau memuji pihak berkuasa yang memastikan tiada kesesakan berlaku ketika membuat saringan COVID-19 di Sekolah Kebangsaan Kampung Dato' Ibrahim Majid pagi Sabtu.

"Untuk ahli keluarga di luar, kami sentiasa berhubung melalui telefon. Untuk video call, line tak berapa kuat jadi dengar suara sahaja. Kami juga nasihatkan kepada mereka supaya jaga diri, tak payah balik kampung buat masa ni," katanya.

PKPD yang bermula Jumaat (27 Mac) dan dijangka berakhir pada 9 April, melibatkan seramai 3,570 penduduk dari 650 keluarga.

-- BERNAMA