Perbuatan pemilik bengkel motosikal yang bersekongkol melakukan pengubahsuaian kenderaan dikenal pasti antara punca kegiatan lumba haram sukar dibendung.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim menegaskan tindakan pemilik bengkel yang menjual pelbagai aksesori termasuk yang tidak mematuhi peraturan turut menyebabkan banyak kes pengubahsuaian motosikal dikesan dalam operasi pihak berkuasa.

Walaupun tiada peruntukan undang-undang khusus boleh dikenakan kepada bengkel terbabit, namun pihaknya akan berusaha mengekang perbuatan ubah suai motosikal daripada terus berleluasa.

"Saya minta kepada pemilik bengkel, jangan fikir untung saja sehingga sanggup lakukan ubah suai untuk pengguna menggunakan benda yang tidak mengikut peraturan.

"Jadi saya beri amaran kepada pengusaha bengkel, kalau boleh beritahu pengguna 'ini tidak betul, ini menyalahi undang-undang'," kata Mazlan.

Datuk Seri Mazlan yang ditemui pada Ops Bersepadu Motosikal di Jalan Raja Laut yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik JSPT Kuala Lumpur awal pagi tadi berkata hampir kesemua kes samseng jalanan didapati membabitkan motosikal yang diubah suai.

Dalam operasi itu sebanyak 730 kenderaan yang kebanyakan motosikal diperiksa. Daripada jumlah itu sebanyak 507 saman dikeluarkan bagi kesalahan yang selalu dikesan iaitu tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan melakukan pengubahsuaian.

Sebanyak 32 kenderaan disita dalam operasi ini.

Selain JSPT, operasi bersepadu ini turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).