SEPANG: Kerajaan negeri disaran tidak mengehadkan kekerapan penerbangan dalam menggalakkan penurunan harga tiket, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong.

Beliau berkata kekerapan penerbangan seharusnya diserahkan untuk ditentukan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan syarikat penerbangan.

"Sekatan terhadap kekerapan biarlah serah pada Mavcom dan syarikat penerbangan. Itu lebih elok," katanya selepas melancarkan inisiatif digital Mavcom bagi mempercepat pemulihan sektor penerbangan negara di sini hari ini.

Selain itu, Wee juga berharap kerajaan negeri tidak mengenakan syarat tambahan kepada prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara sedia ada yang ketat.

Beliau berkata contoh syarat tambahan oleh kerajaan negeri Sarawak yang perlu menjalani ujian saringan dan lokasi yang dihadkan juga melambatkan proses penerbangan.

Katanya ujian saringan itu membantutkan usaha memperbanyak kekerapan penerbangan kerana syarikat penerbangan menggunakan kaedah dinamik antara lain mengambil kira kadar penawaran dan permintaan yang didorong oleh pasaran dalam menentukan harga tiket.

Wee berkata sebelum COVID-19, terdapat 500 penerbangan seminggu ke Sarawak tetapi bermula 1 Nov lepas jumlah penerbangan ditambah daripada 89 kepada 223 penerbangan seminggu.

Beliau berkata harga tiket akan beransur turun selepas kata sepakat untuk meningkatkan kekerapan penerbangan dicapai dengan kerajaan negeri 25 Okt lepas, namun beliau berpendapat harga tiket tidak mungkin turun ke paras sebelum COVID-19 melanda kerana syarikat penerbangan mencari keuntungan.

Selain itu, Wee berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan supaya tidak sepakat meningkatkan harga sekali gus menasihati pengguna menempah tiket penerbangan dua minggu lebih awal supaya perbezaan harga tidak ketara.

Sebelum ini dilaporkan harga tiket terlalu mahal hingga mencecah lebih RM1,000 seorang bagi penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Kuching.

Mengenai inisiatif digital Mavcom, Wee berkata penggunaan teknologi digital yang meluas penting dalam perancangan membina daya tahan industri lebih kukuh dan mampan.

Beliau berkata AeroLicence iaitu sistem pelesenan elektronik pertama industri penerbangan negara dan penambahbaikan aplikasi mudah alih FlySmart dengan panduan Nasihat Perjalanan akan menyokong pelan kerajaan untuk mendigitalisasikan perkhidmatan.

Sistem AeroLicence bertujuan mempercepat pemprosesan lesen dan permit penerbangan komersial yang dikeluarkan Mavcom seperti Lesen Perkhidmatan Udara, Permit Perkhidmatan Udara, Lesen Pengendalian Darat dan Lesen Pengendali Aerodrom.

Sistem itu memendekkan tempoh permohonan yang dikemukakan penyedia perkhidmatan penerbangan kepada tujuh hari berbanding 15 hingga 30 hari sebelum ini serta membolehkan penyerahan laporan suku tahunan kepada Mavcom.

Bagi penambahbaikan aplikasi FlySmart yang diperkenalkan pada 2019, ia akan menjadi pusat sehenti bagi pengguna melakukan perjalanan dalam norma baharu.

Panduan Nasihat Perjalanan itu menyediakan maklumat terkini mengenai peraturan dan sekatan perjalanan udara termasuk sekatan sempadan, keperluan ujian COVID-19, vaksinasi serta keperluan kuarantin di seluruh negara.

Fungsi terbaru tersebut menjadi rujukan bagi pengguna sebelum perjalanan oleh kerana keperluan perjalanan sentiasa berubah dan berbeza di serata dunia.

-- BERNAMA