Peniaga barangan dan pemberi perkhidmatan diingatkan tidak menjadikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April tahun depan sebagai alasan untuk menaikkan harga barangan.

Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, pihaknya juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingkar mengikut arahan berkenaan.

"Mereka yang menjual barang dan menyediakan perkhidmatan tidak sepatutnya menggunakan GST sebagai alasan untuk menaikkan harga kerana harga barangan tertentu tidak akan naik berikutan pengecualian cukai.

"Kami meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan agar lebih tegas dan mengambil tindakan terhadap mereka yang mengaut keuntungan dengan membawa mereka ke mahkamah dan mendakwa mereka, " katanya.

Jelasnya, tindakan itu sekali gus akan menghalang mereka yang mahu mengambil kesempatan daripada pelaksanaan GST.

Mohd Irwan Serigar berkata, lebih dua juta produk akan dipantau di seluruh negara apabila GST dilaksanakan.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan telah meluluskan permohonan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk mendapatkan 472 kakitangan baharu bagi aktiviti penguatkuasaan di 222 kawasan parlimen.

Lebih daripada 10,000 produk akan dipantau di setiap kawasan parlimen apabila GST dilaksanakan.

Ujarnya, Jawatankuasa Pemantauan GST juga telah ditubuhkan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan sistem cukai baharu itu.