UMNO Selangor diingatkan supaya tidak bergantung kepada isu kelemahan dan pepecahan pembangkang, sekali gus menggunakannya sebagai 'senjata' parti untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebaliknya pemimpin dan anggota UMNO perlu terus menjaga kebajikan rakyat bagi memastikan sokongan mereka terhadap parti tidak berbelah bahagi.

"Isu-isu mengenai kelemahan dan pepecahan pembangkang termasuk dalam urusan pentadbiran di Selangor sebenarnya tidak memberi kelebihan kepada sokongan rakyat terhadap parti (UMNO).

"Sekiranya isu tersebut menjadikan rakyat beralih kepada kita itu mungkin bonus, tetapi apa yang lebih penting ialah bagaimana kita mahu mengatur strategi memenangi hati rakyat dan kembalikan kepercayaan rakyat untuk memilih kita dan Barisan Nasional (BN)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO bahagian Kota Raja di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja Ir Datuk Kamaruzzaman Johari.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata beliau percaya rakyat Selangor menyedari kepincangan kepimpinan pakatan pembangkang dan tidak mudah lagi ditipu dengan janji palsu mereka berdasarkan pemerintahan selama hampir dua penggal di negeri itu.

"Rakyat memberikan kemenangan pertama (kepada pembangkang) di Selangor mungkin belum tahu apa yang berlaku dan pada kemenangan kedua (pembangkang) pada PRU lepas, rakyat mungkin fikir perkara yang dijanjikan sedang dirancang.

"Sekarang hendak habis penggal pun, masih ada projek dan perkara yang dijanjikan kepada rakyat belum dilaksanakan dan hanya tinggal janji sahaja...di sini rakyat jelas boleh menilai," katanya.

-- BERNAMA