Dakwaan bahawa Islam tidak membenarkan jumlah harta seseorang dimaklumkan kepada pihak pemerintah adalah batil dan tidak berasas.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, sekiranya agama Islam melarang muslim mengisytiharkan harta, pastilah muslim tidak boleh membayar zakat kepada amil zakat kerana itu menyebabkan jumlah hartanya diketahui.

“Kemudian kita hendaklah faham bahawa dalam soal pentadbiran, Islam itu sifatnya begitu luas. Apa sahaja yang membawa faedah kepada rakyat, diiktiraf sebagai politik atau urus tadbir yang selaras dengan syarak. Ini termasuklah soal pengisytiharan harta.

“Pemerintah berhak menentukan kaedah yang diyakini terbaik dalam memastikan integriti dan urus tadbir yang baik.

“Jangan kita jumud dan mempergunakan dalil-dalil agama sehingga menyempitkan ruang politik yang diluaskan oleh syarak,” katanya menerusi laman Facebook miliknya pada Selasa.


Beliau memuat naik status berkenaan bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan Pas tidak menyokong usul isytihar harta di Parlimen melainkan ia dipinda merujuk kepada undang-undang.

Dewan Rakyat pada Isnin sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing.

Usul dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dan disokong Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar serta diluluskan selepas dibahaskan 26 Ahli Parlimen.

Tuan Ibrahim pada Selasa tampil menafikan tohmahan memperkudakan agama dengan menggunakan hadis dalam isu pengisytiharan pendapatan dan aset.

Beliau menyangkal bahawa Pas menolak untuk mengisytiharkan harta dengan memetik hadis, sebaliknya menyatakan hadis ialah panduan untuk umat Islam.

BACA: Isytihar harta: Pas nafi perkuda agama

BACA: Saifuddin persoal Tuan Ibrahim tolak usul isytihar harta

Mengulas lanjut, Mohd. Asri memberitahu, dalam Islam, zakat wajib dibayarkan oleh muslim membabitkan pelbagai harta termasuk tanaman, ternakan, emas (wang) dan selainnya.

“Jumlah zakat wajib seseorang berdasarkan kadar harta yang dimiliki. Bagi ternakan ada kiraannya, bagi emas ada kiraannya, bagi tanaman ada kiraannya, bagi galian ada kiraannya dan seterusnya.

“Lebih banyak harta, pasti lebih banyak kadar yang wajib dibayar. Ulul Amri (pemerintah) merupakan amil zakat yang berkewajipan memastikan mereka yang wajib membayar zakat, menunaikan tanggungjawab mereka.

“Dari segi maksud, hadis tersebut bukan seperti yang difahami oleh pihak berkaitan. Hadis ini menggalakkan menyembunyi perkara-perkara yang membawa kepada hasad dengki, namun jika ada keperluan maka hajat serta nikmat boleh bahkan mungkin wajib didedahkan. Ini terutama kepada pihak yang mempunyai kepentingan,” jelasnya.