Jangan lihat kuasa pengampunan Agong daripada kaca mata politik, kehendak massa semata-mata - Pakar

Kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong tidak wajar dinilai ikut selera politik; keputusan kes Najib cetus perdebatan batas budi bicara. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Keputusan mengenai bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan kuasa pengampunan baginda tidak wajar dihadkan dalam konteks keperluan politik dan kehendak orang ramai.
Ringkasan AI
- Bidang kuasa pengampunan Yang diPertuan Agong tidak wajar dinilai mengikut kehendak politik atau pandangan orang ramai, sebaliknya menghargai peranan institusi beraja.Pandangan berbeza timbul apabila ada yang menegaskan budi bicara pengampunan perlu selari dengan kepentingan rakyat, bukan individu tertentu.Penghakiman kes Najib dan reaksi politik seterusnya perlu diurus berhatihati kerana ia boleh mempengaruhi strategi parti dan landskap politik menjelang PRU16.
“Kalau kita sering kaitkan dengan perkara yang dikehendaki oleh orang ramai atau orang politik mengenai sistem negara dan raja kita, maka kita tidak akan gagah mendepani masa akan datang.
“Oleh itu, saya fikir orang ramai perlu fikir bukan semata-mata bukan dengan kaca mata politik. Kita perlu lihat kepada perkara yang mendasar bagi sebuah negara yang ada sistem beraja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Dalam temu bual sama, Timbalan Ketua (Strategi) Ibu Pejabat Asia UNSDSN Universiti Sunway, Prof. Wong Chin Huat pula berbeza pandangan mengenai batas kuasa pengampunan.
Menurutnya, budi bicara berkaitan kuasa pengampunan perlulah selari dengan kepentingan orang ramai, bukan untuk kepentingan individu tertentu sahaja.
"Sekiranya kita tidak ambil asas keabsahan luaran (sistem Westminster) maka kita boleh lihat kepada asas keabsahan dalaman iaitu pandangan orang ramai melihat keadaan yang mana keputusan (pengampunan) dibuat khas untuk seorang pembesar. Ini isu yang kita perlu timbangkan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Chin Huat berkata, langkah politik berikutnya perlu diatur dengan berhati-hati sekiranya parti-parti tertentu hendak meraih sokongan politik daripada penghakiman yang dikeluarkan berkaitan permohonan tahanan di rumah oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.
“Dalam konteks arena politik, pemimpin-pemimpin UMNO sekarang yang ugut hendak keluar kerajaan kalau Najib tidak dibebaskan dari penjara. Apa kepentingan untuk UMNO? Kalau UMNO keluar kerajaan sekarang, kerajaan tidak jatuh kerana masih ada majoriti (dalam Dewan Rakyat). Status quo ini akan berterusan sehingga penghujung tahun 2027.
“Oleh itu, pilihan untuk UMNO adalah sama ada kekal dalam kerajaan semasa dan rampas sebanyak mungkin kerusi daripada Perikatan Nasional (PN) (dalam PRU ke-16) untuk mendahului Pakatan Harapan (PH) sebagai parti dominan untuk memimpin kerajaan campuran baharu, atau sekarang UMNO sertai pembangkang dan menjadi parti yang didominasi oleh dua parti yang lebih dominan; Bersatu dan Pas,” jelasnya.
Pada Selasa, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman difailkan bekas Perdana Menteri, Najib bagi memaksa kerajaan serta enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Ia membabitkan kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang disabitkan ke atas Najib yang juga bekas Presiden UMNO.
Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan berkenaan setelah berpuas hati bahawa isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah disebut, dibincang mahupun diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Hakim itu juga memutuskan bahawa Titah Adendum berkenaan tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


