PuTERA35: Agenda ekonomi MADANI perlu holistik, perkukuh kelas menengah Bumiputera

Ahmad Zahid diwawancara oleh penyampai Astro AWANI, Nursyazwani Saiful Sham dalam program PuTERA35.
KUALA LUMPUR: Agenda pembangunan ekonomi negara tidak boleh lagi dilihat secara sempit atau berfokus kepada pertumbuhan semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan melalui pendekatan holistik yang merangkumi keadilan sosial, kesejahteraan rakyat serta pengukuhan struktur ekonomi jangka panjang.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, peralihan daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kepada fasa pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) menjadi landasan penting untuk memperkukuh hala tuju ekonomi negara selari dengan agenda Ekonomi Madani yang menekankan pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi.
Tegasnya, fokus utama kini adalah kepada peningkatan produktiviti, penciptaan pekerjaan berkualiti dengan gaji premium serta usaha mengurangkan jurang sosioekonomi dalam kalangan rakyat,” katanya.
Antara perkara paling signifikan yang ditekankan Zahid ialah keperluan merombak struktur stratifikasi sosial negara.
“Kita mahu kumpulan berpendapatan pertengahan menjadi kelompok terbesar, dan fokus utama kita adalah Bumiputera,” jelas beliau ketika ditemu bual dalam program PuTERA35 yang disiarkan pada Isnin.
Zahid turut mengimbas ketidakseimbangan ekonomi yang wujud sejak tahun 1970-an, apabila pemilikan ekuiti Bumiputera berada pada tahap rendah berbanding kaum lain, malah pemilikan asing ketika itu melebihi pemilikan Bumiputera.
Beliau mengakui, walaupun sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera telah lama digariskan, pelaksanaannya perlu dinilai secara kritikal.
“Inilah yang saya maksudkan sebagai ‘self-criticism’ secara positif, kita perlu menilai semula dasar dan pelaksanaan supaya jurang itu tidak terus melebar,” katanya.
Menegaskan bahawa agenda Bumiputera bukan bersifat eksklusif atau menafikan peluang kaum lain, Zahid berkata, usaha pemerkasaan ini bertujuan mengukuhkan asas ekonomi domestik secara keseluruhan.
Kerajaan, katanya, turut memberi penekanan kepada pembangunan di peringkat daerah dan wilayah, selain memastikan limpahan ekonomi benar-benar dirasai melalui penciptaan peluang pekerjaan, pengukuhan rantaian bekalan serta pertumbuhan pelbagai sektor - termasuk peranan utama sektor swasta.
“Keutamaan kita adalah keadilan, kemampanan dan kesejahteraan rakyat, selari dengan matlamat membina ekonomi yang berdaya tahan dan inklusif untuk semua,” katanya.
Program PuTERA35 yang diterbitkan Astro AWANI dengan kerjasama TERAJU membawa kisah inspirasi usahawan Bumiputera yang bermula sederhana hingga pencapaian luar biasa.
Ia ditayangkan setiap Isnin, pukul 10 pagi di semua platform Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


