Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai mengelak bermain air banjir terutamanya jika mempunyai luka atau masalah kulit bagi mencegah risiko jangkitan Leptospirosis (kencing tikus) dan Melioidosis melalui air tercemar.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, orang ramai disaran menggunakan alat pelindung diri seperti but getah dan sarung tangan getah semasa aktiviti pembersihan terutamanya jika melibatkan banjir lumpur.

"Bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, kolera, tifoid, hepatitis A dan Acute Gastroentritis (AGE), orang ramai perlu mengambil air yang telah dimasak dan makanan yang bersih," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa banjir juga perlu mendapatkan rawatan segera daripada pasukan perubatan di Pusat Pemindahan Banjir atau fasiliti kesihatan berhampiran jika mengalami sebarang gejala penyakit seperti demam, sakit perut, muntah, cirit-birit, batuk dan sebagainya.

KKM juga mengingatkan orang ramai supaya tidak membuang sampah di merata tempat bagi mengelakkan risiko penyakit, pembiakan vektor pembawa penyakit seperti tikus, nyamuk dan lain-lain.

Menurut Noor Hisham, sekiranya bekalan elektrik terputus, orang ramai disaran memastikan bekalan makanan yang disimpan di dalam peti sejuk tidak rosak sebelum dimasak.

"Awasi risiko renjatan elektrik sekiranya rumah dinaiki air dan elakkan penggunaan soket elektrik yang terdedah kepada air banjir sebelum ianya dipastikan selamat," jelasnya.

Manakala bagi penghidap penyakit kronik (seperti pesakit hemodialisis) yang memerlukan rawatan berkala, perancangan berpindah perlu dibuat lebih awal supaya tidak terputus hubungan untuk mendapatkan rawatan.

"Pastikan bekalan ubat mencukupi dan disimpan ditempat yang selamat bagi mengelakkan ianya rosak terkena air banjir. Sekiranya bekalan ubat terputus atau rosak disebabkan banjir, perlu segera maklumkan kepada pasukan perubatan," katanya.

Noor Hisham berkata, ekoran kejadian banjir, 33 buah fasiliti kesihatan terjejas melibatkan 28 buah fasiliti kesihatan di Kelantan dan lima buah di Terengganu.

Daripada jumlah itu, katanya, 21 buah fasiliti kesihatan terputus hubungan, lima buah dinaiki air dalam bangunan dan tujuh buah fasiliti kesihatan dilanda banjir di luar fasiliti.

Maklumat lanjut mengenai langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat banjir, boleh diperolehi di https://www.infosihat.gov.my/index.php/multimedia/e-magazine/item/banjir-2. - BERNAMA