Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun menasihatkan ibu bapa, khususnya di negeri ini, supaya tidak merasa malu sekiranya anak-anak mereka melanjutkan pelajaran hanya pada peringkat sijil atau diploma kemahiran.

Beliau berkata ia tidak menjadi masalah besar kerana apa yang lebih penting adalah kebolehpasaran graduan dalam bidang pekerjaan selain mempunyai keupayaan mencipta pekerjaan sendiri berdasarkan bidang dan latihan kemahiran diikuti pada peringkat sijil atau diploma.

"Tiada gunanya jika anak-anak kita mempunyai kelulusan (kelayakan) akademik yang tinggi tetapi masih menganggur di rumah. Sekarang, anak-anak muda yang mengambil sijil kemahiran mampu menjana pendapatan lumayan kerana mereka boleh membuka perniagaan dan menyediakan perkhidmatan sendiri.

"Dalam konteks sekarang, masa depan terletak kepada kemampuan kita menjana pendapatan dan bukan kepada berapa banyak kelayakan pendidikan," katanya pada Majlis Konvokesyen Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS) ke-22 di sini hari ini.

Beliau yang juga Exco Pendidikan negeri mewakili Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman merasmikan majlis konvokesyen itu seterusnya menyampaikan sijil dan diploma kepada 220 graduan KTYS dalam pelbagai bidang.

Masidi berkata graduan juga perlu sentiasa memastikan diri mereka kompetitif dalam pekerjaan, tambahan pula trend 'kerja mengejar graduan' yang pernah berlaku dalam perkhidmatan awam dahulu kini sudah berubah kerana langkah mengoptimumkan anggota penjawat awam sedia ada sehingga hampir tidak ada kekosongan jawatan ditawarkan.

"Menyedari hakikat itu, Yayasan Sabah menubuhkan KTYS kerana mengetahui dengan menyediakan pengajian dan latihan dalam bidang kemahiran untuk anak muda Sabah akan membolehkan mereka laris dalam pasaran kerja," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memuji kerajaan negeri atas kejayaan mengurus kewangan dengan baik sehingga membolehkan Yayasan Sabah terus kekal memacu pembangunan pendidikan rakyat daripada peringkat pendidikan awal kanak-kanak hingga peringkat universiti.

-- BERNAMA