Perkasa Selangor menyeru kalangan bukan Melayu di negara ini agar tidak memberi komen berhubung kritikan yang dilontarkan kepada masyarakat Melayu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Pertubuhan pendesak Melayu itu berkata orang bukan Melayu tidak memahami maksud sebenar yang disuarakan Dr Mahathir dalam wawancara bersama sebuah akhbar berbahasa Melayu pada Ahad.

Organisasi bukan kerajaan itu menambah, kalangan bukan Melayu tidak perlu `melatah’ berhubung isu itu kerana kritikan beliau dilontarkan khusus kepada orang Melayu.

Dalam temu bual eksklusif dengan Mingguan Malaysia, Dr Mahathir berkata orang Melayu di negara ini malas, tidak jujur dan mudah berpuas hati.

Beliau berkata lelaki Melayu juga ketinggalan di belakang wanita, dengan kebanyakan mereka lebih suka menjadi 'Mat Rempit'.

Dalam temu bual itu, mantan Perdana Menteri paling lama berkhidmat itu juga berkata bahawa bangsa yang terbesar di Malaysia ini tidak pernah berubah sambil mengeluh bahawa beliau gagal merubahnya sepanjang menjadi Perdana Menteri.

"Perkasa Selangor menerima dengan hati yang terbuka, apa juga teguran yang dilontarkan, malah berterima kasih atas kesudian beliau berkongsi ilmu dan pengetahuan yang beliau ada," kata NGO itu di laman Facebook.

Organisasi itu menambah hanya mereka yang tidak dapat menerima kenyataan dan berkepentingan sahaja yang tidak dapat menerima pandangan Dr Mahathir.

Menurutnya, penasihat Perkasa berusia 89 tahun itu amat memahami setiap kaum di negara ini, setelah berkhidmat sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun.

Perkasa menjelaskan kritikan Dr Mahathir itu hanya sebagai nasihat daripada seorang bapa kepada anak-anaknya.