PETALING JAYA: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang iklan pakej umrah yang menawarkan kadar harga terlalu murah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar. 

Beliau berkata mana-mana pihak yang berhasrat untuk menunaikan umrah perlu terlebih dahulu menyemak latar belakang agensi pilihan di platform yang disediakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

"Pengguna perlu lebih peka, kerana tawaran itu ada yang terlalu murah, RM4,000 misalnya, logiknya kadar itu tak mampu pun nak tampung kos tiket penerbangan, kos lojing, kos di Makkah, lawatan ke Madinah dan lain-lain kos sampingan sepanjang tempoh menunaikan umrah itu.

"Biarpun perihal ini di bawah bidang kuasa MOTAC, tapi saya sentiasa menasihati bagi tujuan meningkatkan kesedaran kepada orang ramai berkaitan isu tipu umrah ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Akhir Akademi Daei Muda Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) 2023, di sini semalam.

Mohd Na’im berkata demikian apabila ditanya mengenai satu video tular di aplikasi TikTok semalam yang membongkar penipuan sebuah syarikat menawarkan pakej umrah kepada penduduk di kawasan kampung. 

Beliau pada masa sama menasihati mana-mana individu yang menjadi mangsa tipu syarikat mahupun agensi yang menawarkan pakej umrah agar menyimpan segala bukti transaksi dan perjanjian selain membuat laporan polis.

Dalam pada itu, Pertandingan Akhir Akademi Daei Muda Yadim 2023 yang melibatkan enam peserta menyaksikan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Khairul Aizat Yusoff, 23, diumumkan sebagai pemenang utama sekali gus menerima Anugerah Perdana Daie Muda.

-- BERNAMA