Orang ramai tidak perlu panik dengan penularan beberapa gambar dan video situasi banjir kilat di jalan utama Kijal-Chukai berhampiran gerai jualan lemang Kijal di media sosial 'Facebook' dan 'WhatsApp' hari ini.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata keadaan itu berlaku disebabkan limpahan air dari Bukit Anak Dara yang terletak berdekatan kawasan tersebut.

"Keadaan ini hanya berlaku dalam tempoh singkat sahaja dan apabila hujan berhenti, air itu akan surut seperti biasa. Ketika ini, jalan tersebut masih boleh dilalui seperti biasa dan air di gerai lemang juga surut sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Video berdurasi satu minit 57 saat itu menunjukkan limpahan air yang agak deras memasuki deretan gerai yang menjual lemang di Kijal, mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai dan warganet.

Sementara itu, peniaga lemang di Kijal, Sahabudin Ali, 42, berkata air bukit itu mula 'melintasi' gerainya pada pukul 2 petang dan ia berlaku hampir 20 minit sebelum surut dan pulih seperti biasa.

"Air itu setinggi paras betis namun ia tidak seteruk banjir kilat pada tahun lepas kerana air naik sehingga paras dapur yang menjejaskan perniagaan kami.

"Kami berharap pihak berkuasa dapat mengatasi masalah ini secepat mungkin kerana banjir kilat ini baru berlaku sejak tahun lepas mungkin disebabkan kewujudan beberapa pembinaan baharu di sekitar kawasan ini," katanya.

Sahabudin yang telah berniaga lemang di Kijal lebih 20 tahun lepas membuka gerainya pada 7 pagi tadi bagaimanapun bersyukur kerana banjir kilat itu tidak menjejaskan jualan hari ini.

"Mungkin esok saya tidak boleh buka gerai seperti biasa kerana hendak bersihkan gerai yang berlumpur akibat banjir kilat tadi," katanya.

-- BERNAMA