Semua parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU13) diingatkan tidak sesekali memasang atau menggantung bendera parti mereka mahupun poster kempen pilihanraya di balai-balai polis dan premis milik Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam), ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata dalam keghairahan para petugas jentera pilihanraya parti masing-masing menggantung dan memasang bendera dan poster kempen pilihanraya, mereka tidak dibenarkan sama sekali melakukannya di balai polis dan premis-premis milik polis.

“Polis adalah sebuah organisasi yang neutral dan tidak akan terbabit mahupun digambarkan sebagai terbabit dalam sebarang kempen pilihanraya parti politik yang bertanding,” kata Ramli ketika Taklimat PRU13 di Bukit Aman pagi tadi.

Menurutnya lagi adalah tidak wajar polis dilihat bergiat dengan mana-mana parti politik kerana mereka hanya bergerak berlandaskan peraturan undang-undang tanpa prejudis dan diskriminasi.

Beliau berkata demikian berikutan tindakan polis di Perlis semalam yang telah menanggalkan dan mengembalikan segala bendera dan poster kempen pilihan raya jentera pilihan raya parti yang terlibat setelah didapati diletakkan di premis milik PDRM.

Beliau turut memberi amaran kepada samseng politik agar tidak menimbulkan sebarang kekacauan dalam kesibukan berkempen untuk pilihan raya.

“Jika mereka ditangkap kerana didapati menimbulkan kekacauan hingga menyebabkan berlaku kecederaan, mereka akan menghadapi tindakan undang-undang yang sangat berat,” katanya lagi.

Malah calon-calon parti politik diingatkan tidak menaburkan kebencian dalam ucapan mereka sehingga mampu menimbulkan suasana kacau bilau dalam ketenteraman awam.

Pelbagai jenayah yang berunsurkan politik seperti ugutan jenayah, khianat dengan api, menimbulkan kerusuhan dan pergaduhan telah berlaku sepanjang tempoh pilihan raya ini.

“Sebanyak 631 laporan polis telah dibuat dimana 88 laporan itu direkodkan semalam,” kata Ramli.

Antara laporan tersebut itu termasuklah ugutan jenayah terhadap seorang setiausaha parti politik di Klang dan sebuah bilik gerakan parti politik di Sri Iskandar terbakar dipercayai perbuatan khianat.

Selain tu juga, empat lelaki yang ditahan berikutan serangan terhadap seorang petugas sebuah parti politik di Kemaman minggu lalu telah dihadapkan ke mahkamah pagi tadi.

Sepanjang semalam terdapat 313 aktiviti politik telah direkodkan di seluruh negeri, 122 melibatkan ceramah, 43 aktiviti pula melibatkan perjumpaan dan mesyuarat parti politik, 18 adalah kempen politik , lima adalah lawatan rumah ke rumah dan 125 adalah lain-lain kegiatan yang berkaitan.