Kedaulatan Sabah adalah isu yang sudah diputuskan dengan muktamad serta tidak boleh dan tidak patut dipertikaikan oleh mana-mana pihak, tegas Perdana Menteri.

Kata Datuk Seri Najib Tun Razak, isu itu sebenarnya tidak berbangkit.

"Jangan ada sesiapa memandang iringan iltizam kerajaan Malaysia bahawa Sabah adalah dalam Malaysia selama-lamanya," tegas beliau dalam sidang media di Lahad Datu.

Menurut Perdana Menteri, kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada wilayah negara yang berdaulat adalah berasaskan kepada kedudukan undang-undang sejak 1878 dan diperkukuhkan dengan keputusan Suruhanjaya Cobbold semasa pembentukan Malaysia yang kemudian disahkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Najib merujuk kepada perjanjian penyerahan wilayah Borneo Utara oleh Sultan Sulu, Sultan Jamalul Ahlam Kiram kepada dua pedagang Eropah, Alfred Dent dan Baron von Overbeck pada 22 Januari 1878.

Secara ringkasnya dalam sejarah, wilayah itu kemudian diserahkan kepada Britain dan kemudiannya jadi sebahagian daripada Malaysia apabila Sabah bersama-sama Malaya, Sarawak dan Singapura bergabung di bawah sebuah persekutuan pada 1963.

Waris Kesultanan Sulu membangkitkan soal tuntutan ke atas Sabah juga berdasarkan perjanjian sama kerana ia tidak menganggap perjanjian itu untuk satu penyerahan sebaliknya hanya sebagai satu pajakan.

Krisis keselamatan di Sabah ini bermula selepas waris Kesultanan Sulu yang mengangkat dirinya sebagai Sultan sekarang, Jamalul Kiram III mengirimkan kumpulan pengikutnya yang digelar tentera menceroboh Lahad Datu bermula antara 9 hingga 12 Februari lalu.